Berita Hari Ini

Jangan Pinggirkan Bekas Banduan

SRI AMAN: Bekas banduan seharusnya diberi ‘tempat’ dalam masyarakat untuk mereka kembali memulakan kehidupan baharu, seterusnya bersama menyumbang pada pembangunan negara.

Justeru, masyarakat perlu menerima kehadiran golongan terbabit, terutama dalam membantu mereka mendapatkan pekerjaan bagi meneruskan kehidupan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Masir Kujat, berkata sikap segelintir masyarakat meminggirkan bekas banduan tidak membawa sebarang faedah, malah boleh menyebabkan mereka kembali ke kancah jenayah.

“Kita memainkan peranan penting untuk membantu bekas banduan, terutama dalam konteks pemulihan selepas selesai menjalani hukuman, selain memulakan kehidupan baharu.

“Dalam konteks ini, kita perlu berfikiran positif dan bersama membantu mereka menyumbang pada pembangunan negara,” katanya ketika merasmikan Program Mesej Dari Penjara Peringkat Sarawak, di sini petang tadi

Beliau turut memuji pelaksanaan program berkenaan, yang dianjurkan dengan kerjasama sektor korporat melalui kaedah Corporate Smart Internship (CSI).

Malah, keberkesanan inisiatif itu terbukti apabila seramai 565 Orang DiParol (ODP) menyertainya tahun lalu, sekali gus membantu mereka mempersiapkan diri memulakan kehidupan baharu sejurus dibebaskan.

“Semua 565 ODP itu diambil oleh syarikat swasta untuk berkhidmat di sektor pembuatan, perladangan, perindustrian, perkhidmatan dan perindustrian di bawah program berkenaan.

“Susulan kejayaan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempertingkatkan usaha supaya sekurang-kurangnya 300 ODP dapat mengikuti program CSI sepanjang tahun 2018,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Masir berkata, jumlah banduan bagi seluruh penjara di negeri ini berada di bawah kapasiti 3,040 orang, sekali gus membuktikan kadar jenayah di Sarawak rendah berbanding negeri lain.

“Situasi sebegini bukan sahaja wajar dipertahankan, malah memerlukan usaha gigih secara bersama demi mengekalkan keamanan negeri ini melalui usaha mengurangkan kadar jenayah,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");