Berita Hari Ini

‘Kempen #UndiRosak Bertentangan Prinsip Demokrasi’

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengeluarkan arahan untuk mewajibkan semua ejen parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang supaya berada dalam pusat membuang undi sepanjang hari pengundian.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata berdasarkan pengalaman sebelum ini, pihaknya begitu kecewa kerana masih ada parti yang sambil lewa untuk tidak memastikan setiap wakil atau ejen partinya berada di pusat membuang undi bermula pada jam 8 pagi sehingga 5 petang.

“Kita mahu semua parti politik yang bertanding diminta menghantar ejen dia pada setiap saluran, iaitu di mana calon mereka bertanding. Ada parti besar yang popular dan besar pun ada yang tidak hantar.

“UMNO dan PAS kena hantar orang (ejen) penuh, bermula dari jam 8 sampai 5 petang. Kalau tidak lepas ini saya akan senaraikan (parti mana yang tidak hantar ejen), tidak mustahil saya akan pamerkan supaya semua pihak boleh lihat parti mana yang tidak hantar pemerhati mereka,” katanya ditemui media, di Sri Pentas di sini, hari ini.

Beliau berkata, itu antara pembaharuan dilaksana SPR pada PRU akan datang bagi memastikan setiap proses pengundian bermula dari membuang undi sehingga pengiraan kertas undi diperhatikan ejen parti yang bertanding.

Antara pembaharuan lain, kata beliau SPR akan mengundang pemerhati luar negara iaitu dari Kazakhstan dan Uzbekistan, selain yang sedia ada seperti sebelum ini dari ASEAN dan beberapa negara Eropah bagi memantau perjalanan PRU.

Dalam pada itu, Mohd Hashim berkata, seramai 250,000 petugas SPR termasuk pihak keselamatan akan bertugas pada PRU kali ini.

Menyentuh cadangan pembangkang supaya kertas undi pos dan undi awal tidak diletakkan di balai polis, beliau berkata pada masa ini lokasi itu adalah yang paling selamat kerana ia dikawal sepanjang masa.

“Selepas ini kalau ada wakil parti yang mahu jaga sepenuh masa peti undi pos dan undi awal di lokap mana-mana balai polis, kita memang alu-alukan. Mereka juga mesti tertakluk kepada peraturan di lokap. Kalau perlu tidur di lantai, pakai baju lokap..maka kena pakailah,” katanya.

Menyentuh persempadanan kawasan PRU, beliau menjelaskan ia terpulang kepada kerajaan untuk membawanya pada bila-bila masa ke Dewan Rakyat untuk kelulusan.

“Setakat ini, kita belum siap lagi, sebab ada bantahan dan masih tergantung di Selangor. Di Malaysia ini, ada tiga (kawasan persempadanan) iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Satu negeri di Semenanjung tidak bersetuju (dengan persempadanan), maka semua cadangan persempadanan (di Semenanjung) tidak boleh dibawa ke Parlimen.

Mengulas kempen undi rosak yang sedang digerakkan pihak tertentu di media sosial,  Mohd Hashim ia perlu dihentikan segera kerana tindakan sedemikian tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan prinsip demokrasi.

Beliau berkata, kempen itu boleh merosakkan pemikiran rakyat, selain menafikan hak pengundi untuk memilih kerajaan secara demokrasi.

Pilihan Raya Umum (PRU) lima tahun sekali. Rakyat sudah buat persiapan dan menilai secara keseluruhan kepimpinan dan semua parti politik. Tiba-tiba keluar istilah kempen undi rosak, yang hadir bukan dari orang kebanyakan, tapi diketuai orang tertentu yang kita hormati.

“Kita negara demokrasi yang berasaskan pilihan raya. Tapi kalau mereka galak rakyat mengundi, tapi rosakkan undi ini bertentangan dengan hasrat menegakkan demokrasi.

“Mereka yang menyuarakan dengan lantang supaya demokrasi ditegakkan tapi sekarang mereka melakukan kerja yang langsung tidak demokrasi. Ini kempen tidak bertanggungjawab dan elok supaya dihentikan,” katanya ditemui media, di Sri Pentas di sini.

Beliau mengulas tindakan sekumpulan individu di media sosial yang melancarkan kempen undi rosak, kononnya bagi membantah pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri pembangkang.

Kempen menggunakan ruangan Facebook itu, turut mengajak orang ramai supaya membuat undi rosak pada PRU akan datang sebagai tanda protes kepada Barisan Nasional (BN) dan pembangkang. Sejak kempen ini mula dihebahkan menerusi media sosial, ternyata mendapat kritikan dalam kalangan pemimpin BN serta pembangkang.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");