Sukan Hari Ini

Lopes Utamakan Kejayaan Pasukan Kelantan

BRUNO Lopes menegaskan dia mengutamakan kejayaan pasukan berbanding sasaran peribadi apabila The Red Warriors (TRW) memulakan saingan dalam Liga Super, awal bulan depan.

Penyerang import Brazil itu berkata, dia tidak berminat mengejar populariti dengan meletakkan sasaran menjaringkan gol sepanjang musim kerana apa yang penting kemenangan pasukan mengatasi segala-galanya.

“Sebagai penyerang, sudah pasti saya mahu memperbaharui sasaran setiap kali menyertai pasukan baharu. Musim lalu saya menjaringkan 10 gol dan harap-harap kali ini lebih daripada itu, mungkin 15 (gol) adalah angka yang cukup baik.

“Tetapi saya fikir kejayaan pasukan jauh lebih mustahak berbanding diri sendiri dan semua ini perlukan bantuan dan sokongan daripada rakan-rakan, jurulatih dan penyokong kerana mereka sebahagian daripada pasukan ini,” katanya lapor Sinar Harian.

Bekas penyerang Persija Jakarta itu merupakan pemain import terakhir menyertai skuad pantai timur selepas mengikat kontrak setahun bersama Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), dua hari lalu.

Lopes menjadi pilihan selepas Kelantan gagal mendapatkan khidmat bekas penyerang Melaka United, Marko Simic yang memilih berhijrah ke Persija Jakarta.

Menurut penyerang berusia 31 tahun itu, dia tidak sabar beraksi di pentas Liga Malaysia apatah lagi dua seterunya di Liga 1 Indonesia iaitu Ferdinand Sinaga dan Cassio de Jesus turut sama menyarung jersi TRW.

Tambahnya, dia tidak ada masalah untuk membentuk gandingan mantap selaku penggempur utama bersama Ferdinand meskipun mereka bukan dari kelab yang sama ketika beraksi di negara berkenaan.

“Bagus kali ini dapat berganding bersama kerana musim lalu kami bermusuhan. Mereka pemain yang bagus, begitu juga Gomis (Morgaro) dan Do Dong-hyun, jadi saya harap dapat membantu Kelantan berada pada kedudukan lebih baik, musim ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");