Berita Hari Ini

Masalah Disiplin, Jangan Hanya Salahkan Guru

SHAH ALAM: Masalah disiplin di sekolah bukan hanya perlu ditangani oleh guru, malahan ia perlu mendapat kerjasama semua pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa serta penjaga pelajar sendiri.

Naib Yang Di-Pertua Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (Mapim) Selangor, Khamarulazlan Hanafiah berkata, peranan pihak berkepentingan ini amat penting kerana akan membentuk disiplin dan sahsiah pelajar itu sendiri kelak.

”Jika di sekolah, ibu bapa selalunya meletakkan tanggungjawab anak sepenuhnya kepada guru, jika berlaku sesuatu masalah, guru sendiri disalahkan, sebaliknya ibu bapa perlu memainkan peranan selalu mengadakan perbincangan dengan pihak sekolah berkenaan perkembangan anak.

”Jangan hanya berharap ketika mengambil kad laporan anak sahaja berjumpa dengan pihak sekolah, selain dari itu jugak ibu bapa perlu sentiasa mendampingi sekolah di masa lain agar masalah anak dapat diketahui secepat mungkin.

“Sebagai cadangan pihak sekolah jugak perlu mengadakan medium atau platform bagi menyalurkan maklumat murid dengan segera dari masa ke semasa kepada ibu bapa dan penjaga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memandang berat laporan media sebelum ini mengatakan sebanyak 442 pelajar di seluruh negara dibuang sekolah kerana didapati terlibat dalam pelbagai masalah disiplin.

Kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyebut kegiatan gengsterisme dikenal pasti sebagai masalah paling serius di sekolah, mengatasi gejala penyalahgunaan dadah, buli dan ponteng.

Jelasnya, sebagai teori mudah seperti berlari berganti-ganti, apa yang perlu pastikan baton (anak) yang dipegang oleh setiap pelari itu dipegang dengan betul dan erat semasa ketika menyerahkan kepada pelari seterusnya.

“Pelari itu juga perlu kemas supaya tidak terjatuh sehinggalah ke garisan penamat.

“Begitulah peranan yang perlu dilakukan oleh semua yang terlibat dalam memastikan displin pelajar-pelajar ini sentiasa terjaga,” katanya.

Bukan mengambil sikap menuding jari, Kamarulazlan menegaskan sikap ambil peduli ibu bapa dan peranan PIBG juga perlu dijalin erat dengan pengurusan sekolah agar masalah-masalah besar tidak timbul.

Sambil menafikan bukannya mudah budaya sifar masalah disiplin, tetapi katanya, sekurang-kurangnya masalah sosial dapat dikurangkan dalam pkalangan pelajar.

”Apa yang menjadi kerisauan pihak kami adalah masalah disiplin pelajar ini juga kebanyakkannya berlaku ketika masa senggang sebelum sesi persekolahan dan selepas sesi persekolahan.

”Masa ini siapa perlu dipertanggungjawab? Kita tidak mahu ada budaya tuding jari tolak sana dan sini serta hakim yang tidak diundang sebaliknya ketika ini peranan semua pihak diperlukan untuk mengatasi perkara ini,” katanya.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");