Perak Hari Ini

Masyarakat Perlu Terus Jalin Hubungan Baik Dengan PDRM

IPOH: Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Ahmad Tarmizi Shaari, yang baharu dilantik berharap agar orang awam terus menjalinkan kerjasama yang erat dengan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam membendung segala jenis aktiviti jenayah setempat.

Menurut beliau, kerjasama yang baik antara kedua-dua pihak mampu memudahkan polis dalam menyelesaikan segala jenis permasalahan mahupun kes dengan lebih mudah.

“Dengan adanya kerjasama antara masyarakat sekeliling dengan polis, saya yakin setiap masalah itu dapat diselesaikan dengan segera.

“Jika belum mengetahui ‘hujung pangkal’ sesuatu isu, lalu terus menularkan ia ke laman-laman sosial tanpa merujuk kepada polis, itu yang akan jadi masalah,” katanya.

Pada masa sama,  beliau turut senada dengan fokus-fokus utama PDRM oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, seperti yang diumumkan September lalu.

“Antara yang ditekankan Tan Sri Ketua Polis Negara, ialah penghayatan konsep ‘back-to-basic’, memelihara integriti dan menghindari rasuah, memerangi judi dan jenayah bersindiket, serta ‘Intelligence-Led Policing’,” jelasnya.

Beliau bercakap kepada media selepas penyempurnaan Majlis Serah Terima Tugas daripada Superintendan Tan Boon Hoi di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, dekat sini hari ini.

Acara simbolik penyerahan tongkat kuasa pada majlis berkenaan turut disaksikan Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Omar Mammah.

Sebelum ini, Ahmad Tarmizi, 59, yang berkhidmat dalam PDRM selama 36 tahun, telah menjawat jawatan sebagai pegawai dalam Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman.

Selain itu, beliau juga pernah menyeratai misi keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Sierra Leone dan di Bosnia dan Herzegovina.

Beliau yang merupakan anak jati Ipoh ini juga pernah berkhidmat dalam Bahagian Pemberi Pinjam Wang dan Pemegang Pajak Gadai, Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan.

“InsyaAllah, pengalaman saya yang pernah berkhidmat dalam Cawangan Khas, Polis Hutan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik serta pentadbiran dan pengurusan akan membantu saya menggalas tanggungjawab ini bersama-sama dengan kerjasama anggota lain,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");