Jenayah

Menteri Dipenjara Kerana Senarai Hitam Artis

SEOUL: Mahkamah rayuan Korea Selatan mengenakan hukuman penjara dua tahun terhadap bekas Menteri Kebudayaan, Cho Yoon-Sun atas kesalahan menyenarai hitamkan 10,000 artis yang menentang kerajaan bekas presiden digulingkan, Park Geun-Hye.

Julai lalu, Yoon-Sun dibebaskan dan hanya dikenakan hukuman tertangguh ke atas satu tuduhan berkaitan yang lebih ringan, menyebabkan pendakwa raya mengemukakan rayuan.

Mahkamah lebih tinggi di Seoul turut melanjutkan hukuman penjara terhadap bekas ketua kakitangan Geun-Hye, Kim Ki-Choon daripada tiga kepada empat tahun.

Sebelum menjadi Menteri Kebudayaan pada 2016, Yoon-Sun adalah penasihat dasar Geun-Hye dan mahkamah berkata, adalah munasabah untuk mempercayai dia bersubahat dalam cubaan menghentikan sokongan kerajaan terhadap artis tertentu.

“Susah dipercayai perbincangan dan keputusan menghentikan subsidi kerajaan dibuat tanpa arahan atau kelulusan tertuduh,” kata mahkamah itu dalam kenyataannya.

Yoon-Sun sebelum ini diberikan ikat jamin, namun sebaik keputusan itu dibacakan, dia ditahan serta-merta di dalam mahkamah.

Senarai hitam pada 2016 itu bertujuan menyekat subsidi kerajaan dan dana persendirian terhadap artis, selain meletakkan mereka di bawah pemantauan pihak berkuasa.

Senarai itu termasuk artis filem, teater, tarian, muzik, seni halus dan sastera yang terkemuka di Seoul.

Ia termasuk penulis novel Han Kang yang memenangi anugerah antarabangsa Man Booker International Prize pada 2016 dan pengarah filem Park Chan-Wook yang menyaksikan filem beliau, “Oldboy,” layak ke Grand Prix di Cannes pada 2004 memetik sumber AFP.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");