Berita Hari Ini

Mohd Najib Razak Terima Sumbangan Daripada PM

PEKAN: Seorang murid Tahun Dua Sekolah Rendah Paloh Hinai di sini menarik perhatian ramai apabila namanya dipanggil ke pentas untuk menerima bantuan persekolahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah, perdana menteri sendiri tergelak besar selepas nama murid itu, Mohd Najib Razak Jefree, 8, dari Taman Selasih, Paloh Hinai disebut bagi menerima bantuan berkenaan.

Datuk Seri Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan turut beramah mesra dengan Mohd Najib, yang ditemani ibunya, Siti Norfaizah Sh Harun, 40, semasa menyampaikan bantuan itu di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.

Mohd Najib ternyata gembira ketika ditanya perasaannya selepas menerima baju, beg dan kasut sekolah baharu daripada perdana menteri yang mempunyai nama yang sama sepertinya .

“Seronok dapat jumpa…perdana menteri baik,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini lapor Bernama.

Siti Norfaizah pula berkata, nama Mohd Najib diberikan oleh suaminya, Jefree Wahab, 49, kerana kagum dan bangga dengan kepimpinan perdana menteri.

“Suami cakap, nama Mohd Najib itu adalah kenangan untuknya. Malah, saya sendiri tidak tahu suami beri nama anak Mohd Najib Razak sehingga tiga minggu selepas melahirkannya (Mohd Najib).

“Walaupun terkejut tetapi saya tetap gembira dan berharap dia menjadi anak yang berguna untuk bangsa dan negara,” katanya.

Beliau juga memberitahu bahawa anaknya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Paloh Hinai, selalu bercerita tentang dirinya menjadi usikan ramai.

“Memang kerap orang tanya dia hal kerajaan dan selalu juga dia bertanya tentang apa BR1M dan sebagainya. Saya menerangkan kepadanya serba sedikit dan dia tidak kisah atau ambil hati.

“Malah, kawan-kawannya di sekolah turut mengusik apabila ada rakan di sekolahnya bernama Rosmah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");