Berita Hari Ini

Sekolah Baharu Akan Dibina Imbangi Kepadatan SMK Meru

PUTRAJAYA: Kerajaan akan membina sebuah sekolah menengah  baharu bagi mengimbangi bilangan pelajar yang terlalu ramai di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru, Klang, Selangor.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan berkata kementeriannya mengambil maklum bahawa bilangan pelajar sekolah itu yang melebihi 4,000 orang adalah terlalu besar bagi sesebuah sekolah.

“Kita sedang berusaha untuk membina sebuah lagi sekolah di kawasan tersebut,” katanya pada sidang media prapelancaran program ‘Ace It Easy’ di sini hari ini, sebagaimana dilaporkan Bernama.

Beliau mengulas mengenai laporan dalam media sosial mengenai SMK Meru yang kekal sebagai  pemegang takhta sekolah paling ramai pelajar di Malaysia.

SMK Meru yang terletak di kawasan pesat merupakan satu-satunya sekolah di situ dan turut menawarkan kelas peralihan serta program pendidikan khas.

Mengenai ‘Ace It Easy’, Kamalanathan berkata program rintis kendalian Ascendance Sdn Bhd yang akan dilaksanakan di sepuluh SMK terpilih di Selangor itu bermatlamat membantu pelajar dengan prestasi kurang memuaskan khususnya tingkatan empat dan lima, untuk lebih berjaya dalam bidang akademik dan kehidupan.

Katanya program berbentuk ‘daripada pelajar untuk pelajar’ itu akan melibatkan pelajar yang mempunyai potensi tertentu, diberikan platform untuk meneroka kemahiran, mencari minat seterusnya mengaitkan minat tersebut kepada pelajaran dalam usaha mencapai keputusan cemerlang peperiksaan.

Maklumat atau data akhir pelajar yang dibantu pasukan Ascendance akan diserahkan kepada sekolah masing-masing untuk tindakan susulan.

“Jika penilaian terhadap program rintis selama empat bulan itu memuaskan, kita sedia mempertimbangkannya untuk dikembangkan ke seluruh negara,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");