Sukan Hari Ini

Selangor Hampir Pasti Gagal Dapatkan Stadium Bukit Jalil

USAHASAMA Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menjangkakan peluang Selangor menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil adalah tipis selepas mengambil saranan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang melihat stadium itu berdepan pelbagai kekangan aktiviti sepanjang tahun ini.

Satu mesyuarat melibatkan Ahli Lembaga Pengarah FMLLP dijangka diadakan pada Khamis ini bagi membincangkan permohonan pasukan itu.

Sekiranya permohonan ditolak, Selangor terpaksa mencari alternatif stadium lain dalam masa terdekat.

Menurut laporan Stadium Astro, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata, permintaan Selangor kurang realistik jika stadium tersebut digunakan dua kali sahaja dalam pusingan pertama Liga Super.

“Memandangkan keadaan ini di mana banyak perlawanan akan dipinda, ia nampak situasi yang agak rumit.

“Tetapi saya akan terus berhubung dengan Bahagian Pertandingan dan melihat bagaimana untuk menyokong keyataan Tunku Ismail dan berlaku seadil-adilnya kepada pasukan Selangor.

“Kami perlu duduk semeja dengan Bahagian Pertandingan untuk melihat pilihan yang ada. Kami akan berhubung dengan Selangor dengan kadar segera untuk menyemak pelan B dan C.

“Saya percaya semua orang mempunyai pelan B atau C dan saya juga percaya Selangor juga mempunyai alternatif itu,” katanya.

Dalam laman Facebook rasmi FAM, Tunku Ismail hari ini berkata Stadium Bukit Jalil tidak mampu tersedia sepanjang tahun berikutan banyak acara nasional dan antarabangsa akan diadakan di situ.

“Kedua-dua pihak, iaitu pihak pengurusan stadium dan FMLLP, telah berusaha untuk bekerjasama bagi mengkaji perkara ini tetapi adalah mustahil untuk memberi jaminan bahawa stadium tersebut tersedia sepanjang tahun,” katanya.

Justeru, bagi melicinkan jadual pertandingan, Tunku Ismail berharap Selangor mampu menaik taraf lampu limpah di Stadium Selayang untuk perlawanan pada waktu malam.

“Kita mesti bergerak ke hadapan. Jadi, Selangor tidak boleh memberi alasan yang Stadium Selayang tidak boleh diguna pakai hanya disebabkan oleh lampu limpah yang tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan FMLLP.

“Adalah menjadi tanggungjawab pasukan Selangor untuk menaik taraf lampu limpah tersebut bagi mematuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh FMLLP agar boleh beraksi pada waktu malam,” katanya lagi.

Selangor akan memulakan Liga Super dengan menentang Kuala Lumpur pada 4 Februari, diikuti Melaka dan Terengganu masing-masing pada 7 dan 10 Februari.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");