Perak Hari Ini

Tun M Calon PM: DAP Seperti Meludah Ke Langit

BIDOR: MCA Perak menyifatkan tindakan kepimpinan DAP kini seolah-olah ‘sedang meludah ke langit’.

Pengerusinya, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, DAP sebelum ini begitu lantang mengutuk Tun Mahathir dengan pelbagai tomahan dan hinaan.

Namun kini katanya, kepimpinan DAP seolah-olah ‘hilang ingatan’ dan bersetuju dengan keputusan barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH)

“Sewaktu Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, pelbagai tomahan dan dakwaan dikenakan ke atasnya, khususnya daripada pimpinan DAP.

“Mereka menuduhnya sebagai pemimpin korup, zalim, dan mengamalkan dasar kronisme dalam pentadbiranya.

“Namun hari ini, mereka pula bersetuju untuk menjadikan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri ‘sekali lagi’. Apa sudah jadi?,” ujarnya.

Ketika diminta mengulas tentang pengumuman Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Timbalan Perdana Menteri, Hang Soon berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ia akan mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, termasuk dalam kalangan ahli pembangkang sendiri.

“Usah bercakap menjadi calon Timbalan Perdana Menteri, dinamakan mahu menjadi calon Menteri Besar Selangor ketika berlaku ‘Kajang Move’ itu pun ramai antara mereka (pembangkang) yang membantah,” jelasnya.

Justeru jelas beliau lagi, apa yang berlaku dalam PH kini adalah kerana mereka terdesak dan terpaksa menamakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri.

Katanya, pengumuman itu sekali gus mengiyakan dakwaan bahawa parti-parti pembangkang sememangnya tidak mempunyai kepimpinan yang layak menduduki kerusi tertinggi.

“Selama ini, mereka cuba mencari seorang calon yang sesuai untuk menjadi Perdana Menteri, namun sehingga kini mereka tidak berjaya.

“Akhirnya, mereka terdesak mengangkat Tun Mahathir sebagai calon.

“Kita memang menghormati beliau, atas sumbangannya kepada negara, selama menjadi Perdana Menteri lebih daripada 20 tahun.

“Namun, saya berpendapat, beliau seharusnya berehat sahaja dan kita sebagai rakyat harus memandang ke hadapan. Ini zaman baharu,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata rakyat kini semakin memahami bahawa Barisan Nasional (BN) mempunyai ramai kepimpinan yang berkredibiliti jauh lebih baik daripada pembangkang.

“Rakyat tahu, BN mempunyai ramai pemimpin yang berwibawa dan berpengalaman daripada peringkat Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri sehinggalah ke semua bahagian.

“Kerana itu, kita yakin bahawa pada Pilihan Raya Umum yang akan datang ini, rakyat akan memberi banyak sokongan kepada BN,” katanya, ketika ditemui di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Choong Hua 2, dekat sini, hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");