Isu Panas

Baiah Pas ‘Makan Diri’

ALOR SETAR – Sumpah baiah yang diamalkan Pas didakwa memberi implikasi negatif kepada dua pihak, selain memperlihatkan pendekatan parti itu yang ekstrem.

Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, wakil rakyat yang melafazkan baiah Pas terutama melibatkan talak isteri, berdepan risiko kerana sumpah itu akan ‘makan diri’ sendiri apabila tidak lagi bergelar pemimpin Pas.

“Baiah dibuat secara sulit, bukan secara terbuka. Syarat-syarat baiah juga sulit, namun apabila berlaku ‘lompat parti’, habis terdedah,” katanya.

Menurutnya, dua pihak akan terkesan dengan pelanggaran baiah, di mana ia memberi tekanan kepada individu yang membatalkan baiah termasuk kepada parti itu sendiri.

“Masyarakat akan melihat wakil rakyat itu tidak baik kerana langgar sumpah, ia jejaskan imej dan reputasi beliau. Sebab itu Pas akan bangkitkan isu baiah setiap kali wakil rakyatnya ‘lompat parti’. Pada masa sama, perbuatan itu memakan diri Pas, kerana umum diperlihatkan dengan cara Pas mengikat wakil rakyat sehingga sebegitu,” katanya.

Bekas Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah (2009-2013) itu berkata, masyarakat akan kecam tindakan Pas yang melaksanakan baiah seumpama talak isteri, kerana pihak ketiga dijadikan mangsa apabila wakil rakyat itu tidak lagi sehaluan dengan Pas.

“Sebab itu ramai wakil rakyat Pas enggan dedahkan intipati baiah, sebab beri kesan kepada dua pihak. Sepatutnya, bila keluar parti, baiah itu terbatal sebab individu yang melafaz baiah sendiri yang membatalkan baiah itu dan hanya perlu bayar kafarah,” katanya.

Menurutnya, pimpinan tertinggi Pas hanya menggunakan isu baiah untuk menakut-nakutkan wakil rakyat mereka supaya setia kepada parti.

“Baiah adalah pengakuan sumpah sama seperti pegang jawatan dalam kerajaan atau angkat sumpah Adun, ia adalah aku janji, merupakan prosedur biasa. Ia masih boleh dibatalkan mengikut syarak atas sebab kepentingan tertentu, contohnya, jika diteruskan baiah itu datangkan mudarat pada diri, maka boleh batalkan dengan kafarah (denda),” katanya.

Phahrolrazi berkata, kaedah membatalkan baiah itu adalah dengan memberi makan 10 orang anak yatim, seperti yang beliau pernah lakukan ketika meninggalkan Pas pada tahun 2015.

“Mesti ada jalan keluar. Akad nikah pun baiah, itu pun boleh dibatalkan melalui perceraian. Apa baiah pun, itu antara kita dengan ALLAH SWT sebab baiah dibuat atas nama Allah SWT,” katanya.

Menurutnya, pimpinan Pas sengaja memperbesarkan isu baiah sedangkan masih ada jalan keluar untuk membebaskan diri daripada baiah.

“Kami rujuk ulama sebelum ambil tindakan begitu. Kebanyakan ulama tegaskan baiah talak tiga isteri tidak sah kerana libatkan pihak ketiga.  Isteri tidak terlibat dalam urusan parti, kenapa perlu dipertaruhkan dalam ikatan itu, seolah menjadi mangsa,” katanya.

Phahrolrazi berkata, baiah Pas diubahsuai mengikut kehendak negeri masing-masing, Kedah tidak melibatkan aspek talak isteri mahupun wang dalam sumpah itu.

“Hanya sebut nama ALLAH SWT, ia pengikat kami ketika itu, bila mungkir janji bermakna dengan ALLAH SWT,  sama ada ALLAH SWT hukum kita atau sebaliknya, ia urusan ALLAH SWT, bukan manusia,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Adun Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah ‘diserang’ pimpinan Pas ekoran keluar dari parti itu tanpa mengosongkan kerusi disandang, menyebabkan pimpinan Pas membangkitkan isu baiah.-Sinar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");