Jenayah

Dakwaan Suruh Tanggal Pakaian Tidak Benar – JPJ

KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi arahan kepada beberapa pemandu lori untuk menanggalkan pakaian sehingga separuh bogel adalah tidak benar.

Isu berkenaan timbul apabila gambar pemandu lori berkenaan dalam keadaan separuh bogel bersama anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tular di media sosial.

Malah, ada pihak turut mendakwa pemandu lori terbabit tidak memenuhi ‘suapan’ diminta oleh anggota JPJ berkenaan menyebabkan mereka dalam keadaan sedemikian.

JPJ dalam satu kenyataan hari ini berkata, anggota penguat kuasa terbabit membuat satu rondaan di sekitar Jalan Aring ke Tasik Kenyir pada Mei 2015 dan mendapati terdapat tiga lori sedang parkir di bahu jalan berkenaan menghalang aliran lalu lintas.

Susulan itu, katanya, pemandu lori berkenaan yang sedang mandi-manda di atas bukit berdekatan jalan terbabit bergegas turun dengan segera dengan hanya berseluar dalam.

“Penguat kuasa mengarahkan individu berkenaan untuk mengambil pakaian mereka, namun mereka memberi alasan pakaian di atas bukit.

“Disebabkan merasa malu dan takut dilihat oleh masyarakat, mereka duduk di sebelah kanan belakang kenderaan JPJ.

“Mereka sudah mohon maaf dan tidak akan mengulangi kesalahan sedemikian.

“JPJ juga sudah mengarahkan mereka untuk mengalihkan kenderaan berkenaan ke tempat yang lebih sesuai,” katanya.

Pada masa sama, JPJ menyeru masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan penyebaran maklumat yang belum sahih dan tidak rasmi.

“Sebarang penyebaran berita palsu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (akta 588).

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi setahun atau kedua-keduanya sekali,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");