Jenayah

Doktor Palsu Dicekup Ketika Pasang Pendakap Gigi

KUALA TERENGGANU – Dua wanita berusia awal 20-an yang menyamar sebagai doktor palsu bagi perkhidmatan pemasangan pendakap gigi ditahan dalam satu serbuan oleh Jabatan Kesihatan Terengganu di sebuah rumah tumpangan di Kampung Losong, di sini.

Individu terbabit dikesan sejak awal tahun ini menjalankan kegiatan haram itu secara bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain dengan mempromosikan perkhidmatan dan barangan secara atas talian (online) menerusi laman sosial facebook.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohammad Omar berkata, intipan telah dijalankan sejak awal Januari lalu, namun sebelum ini kumpulan itu berjaya melarikan diri ketika serbuan dijalankan di sebuah lokasi di Kemaman.

Menurutnya, hasil maklumat orang ramai, kali ini kumpulan terbabit yang pada mulanya merancang untuk menjalankan kegiatan itu di sebuah rumah tumpangan di Batu Burok berjaya di berkas oleh seramai tujuh pegawai penguat kuasa.

Katanya, ketika serbuan jam 3.30 petang hari ini seorang lagi individu berjaya meloloskan diri dan kita berjaya menahan dua individu bersama 17 pelanggan berusia 16 hingga 20-an yang sedang menunggu giliran untuk mendapatkan perkhidmatan mereka.

“Hasil serbuan itu mendapati individu terbabit gagal mengemukakan sijil amalan tahunan pergigian yang sah dan akan disiasat di bawah Seksyen 4 Akta 586 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM300,00 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.

“Mereka juga disyaki menyediakan perkhidmatan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Akta 586),” katanya lapor Sinar Harian.

Mohammad berkata, siasatan awal mendapati individu terbabit hanya mempelajari kaedah pemasangan pendakap gigi melalui rakan.

“Siasatan awal terhadap individu berusia 21 tahun itu mendapati dia tidak mempunyai kelayakan dalam pemasangan alat pendakap gigi malah mengaku hanya belajar memasang alat itu melalui kawan.

“Individu itu juga mengaku ia adalah satu kesalahan dan ketika ditanya mengapa melakukan juga kegiatan haram itu, dia tidak dapat menjawab,” katanya.

Mohammad berkata, beliau percaya antara faktor perkhidmatan haram itu mendapat sambutan ramai kerana harganya lebih murah.

“Ramai kata harganya murah macam salah seorang pelanggan yang saya tanya tadi, dia hanya perlu membayar RM100 bagi mendapatkan servis untuk pendakap gigi yang dipakainya itu,” katanya.

Sehubungan itu, Mohammad berkata, pihaknya menyeru orang awam supaya tidak tertarik dengan tawaran sebegitu daripada individu yang tidak memiliki kelayakan dan mempunyai sijil yang sah.

“Orang ramai masih kurang sedar bahawa mereka yang menawarkan prosedur itu tidak bertauliah.

“Banyak risiko yang akan ditanggung sekiranya memakai pendakap gigi dari individu yang tidak bertauliah antaranya kesakitan, jangkitan kuman, ulser mulut, gigi longgar, pergerakan gigi luar biasa, kehilangan gigi dan gusi bengkak serta bernanah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");