Berita Hari Ini

Ketahui Hak Anda! Pemilik Premis Boleh Dikenakan Tindakan Tegas Halang Petak Parkir

Isu tidak cukup tempat letak kereta khususnya di kawasan bandar bukan perkara baharu, dan masalah itu menjadi semakin rumit apabila terdapat segelintir penyewa petak parkir bertindak menghalang kawasan sehingga menyukarkan orang awam untuk menggunakannya.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan petak parkir yang disewakan kepada penyewa di hadapan premis mereka hanya dihadkan dari jam 7.30 pagi hingga 6 petang sahaja, dari hari Isnin hingga Sabtu, lapor Malay Mail.

Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Pembangunan DBKL, Azmi Abdul Hamid berkata, selepas tempoh waktu ditetapkan, tempat letak kereta tersebut terbuka kepada orang awam.

“Selepas jam 6 petang setiap hari, hari Ahad dan cuti umum, kawasan tersebut terbuka kepada orang awam,” katanya memetik akhbar tersebut hari ini.

Katanya, banyak aduan yang diterima oleh orang awam berhubung tindakan penyewa meletakkan palang besi di kawasan petak parkir bergarisan merah di luar tempoh masa.

Susulan itu, beliau menjelaskan tindakan akan diambil oleh pihak berkuasa tempatan terhadap mana-mana penyewa yang masih berdegil dan melanggar peraturan tersebut memandangkan perkara itu tidak pernah dikuatkuasakan sebelum ini.

Notis amaran akan dikeluarkan oleh DBKL kepada para penyewa petak letak kereta dan jika kes masih berulang tindakan selanjutnya adalah dengan tidak memperbaharusi tempoh sewaan mereka yang dibayar setiap tiga bulan, lapor akhbar itu lagi.

“Tempat letak kereta tidak akan pernah cukup dan cadangannya adalah untuk tidak mewujudkan lebih banyak tempat letak kereta jadi orang akan menggunakan pengangkutan awam. Tetapi untuk kes ini, kita perlu memastikan terdapat penguatkuasaan yang adil,” ujarnya sambil menambah DBKL telah berbincang dengan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

YWP dilantik menguruskan tempat letak kereta bagi pihak DBKL sejak 2016 telah bekerjasama dengan Vista Summerose Sdn Bhd telah memperkenal sistem City Car Park untuk membantu penguatkuasaan dan pungutan yuran parkir.

Mengulas lanjut, Pengarah Urusan Vista Summerose, Nik Haidi Nik Mohamad berkata terdapat 3,883 ruang letak kereta di bandar yang disewakan dengan caj RM400 di kawasan pusat bandar, manakala antara RM215 dan RM240 untuk kawasan luar pusat bandar.

Nik Haidi berkata, tempat letak kereta yang disewa tertakluk kepada syarat-syarat ketat yang ditetapkan oleh DBKL, bergantung kepada jenis perniagaan seperti bank (kenderaan keselamatan), klinik (kecemasan perubatan), dan sebagainya.

“Ia tidak sepatutnya menjadi tempat letak kenderaan individu untuk kemudahan peribadi mereka,” kata beliau sambil menambah terdapat dasar-dasar yang ditetapkan oleh DBKL untuk menangani isu tersebut.

Bagaimana beliau berkata, alasan yang sering digunakan oleh penyewa adalah jika mereka tidak menghalang petak parkir tersebut selepas waktu perniagaan, ruang tersebut akan diambil oleh pemilik kenderaan lain, dan itu menyukarkan mereka pada keesokan hari.

Tambahnya, pihak beberapa kali terpaksa menunda kenderaan daripada kawasan parkir khas, namun penyewa perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan hanya boleh meletak kenderaan pada masa yang ditetapkan.

Nik Haidi turut memberi amaran kepada pemilik-pemilik permis yang bertindak menghalang petak parkir di luar premis untuk kegunaan mereka sendiri.

“Pasukan penguatkuasa telah melupuskan pelbagai jenis barang seperti tayar kereta, tong sampah, peralatan perabot pecah yang digunakan untuk menghalang ruang petak parkir tetapi keesokkannya, ia kembali berlaku,” katanya.

 mD

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");