Isu Panas

‘Namewee…Pergi Menari Dalam Hutan’

BERA: Kerajaan tidak lagi boleh berkompromi dengan tindakan provokasi pengarah dan pemuzik kontroversi, Namewee, yang memuat naik klip video bertajuk ‘Like A Dog’, hujung minggu lalu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan Namewee itu sangat melampau dan biadap serta tidak peka dengan sensitiviti pelbagai kaum di negara ini.

“Kita tidak boleh lagi bertolak-ansur dengan orang seperti ini. Dia sudah banyak kali melakukan tindakan yang dilihat seperti mahu mencetuskan provokasi.

“Bagi saya, Namewee sudah melampau dan biadap terhadap orang Islam. Dia seolah-olah mahu mencabar kita dan kalau dia nak menari seperti dalam video klip itu pun, pergilah (menari) dalam hutan, kenapa mesti buat (video klip) depan masjid,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Kenduri Kampung di pekarangan surau Kampung Paya Mengkuang Ladang, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bera, Mohd Zoolihsan Ahmad dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Bera, Salmiah Abd Rahman.

Namewee dikatakan memuat naik klip video bersempena Tahun Baharu Cina bertajuk ‘Like A Dog’, minggu lalu, yang memaparkan individu memakai topeng anjing melakukan tarian lucah berlatar belakangkan bangunan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Mengulas lanjut mengenai isu itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada perlu diambil terhadap pengarah dan pemuzik kontroversi itu.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu tegas dan menahan Namewee bagi mengelak insiden tidak diingini berlaku.

“Kita bimbang ada pihak akan mengambil peluang dan menggunakan isu ini untuk mencetuskan ketegangan antara kaum.

“Jadi, sebelum ini berlaku, eloklah pihak berkuasa menahan Namewee untuk siasatan lanjut.

“Sebelum ini pun sudah banyak kali benda macam ini berlaku dan tidak ada tindakan tegas diambil. Saya risau jika ada pihak yang ekstrem (taksub) mengambil tindakan sendiri terhadap pemuzik seperti Namewee ini,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");