Berita Hari Ini

NGO Islam Nafi Kaitan Al-Haramain Watch

KUALA LUMPUR: Sebanyak 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Malaysia menolak dakwaan laporan media Arab mengenai penubuhan Badan Pemerhati Pengurusan Al-Haramain atau Al-Haramain Watch di Malaysia.

Pengerusi International Khayr Ummah Foundation (iKAF), Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya, berkata laporan media Arab termasuk Al-Jazeera, dengan jelas menyebut kononnya badan antarabangsa berkenaan sudah pun ditubuhkan di negara ini.

Beliau berkata, badan itu diangkat oleh laporan media berkenaan sebagai sebuah badan berkuasa untuk memantau urusan pentadbiran dua kota suci iaitu Makkah dan Madinah yang sedia maklum ditadbir kerajaan Arab Saudi.

“Selepas kajian dibuat, nyata badan ini memiliki maklumat pendaftaran yang meragukan, selain tidak mempunyai sebarang alamat surat menyurat, pihak kami juga tidak menjumpai maklumat berhubung badan itu seperti carta organisasi mereka.

“Maka dengan ini kami mengecam apa jua usaha untuk mengaitkan nama negara kita dalam hal ini,” katanya dalam sidang media khas Gabungan NGO Islam Malaysia mengenai isu berkenaan di sini, hari ini.

Jelas beliau, penubuhan badan itu sebenarnya bertitik tolak daripada idea mengantarabangsakan pentadbiran dua tanah suci berkenaan.

“Justeru, kami ingin menzahirkan pendirian kami yang tidak sama sekali bersetuju dengan idea pengantarabangsaan pentadbiran ini kerana kami melihat ia bakal menimbulkan lebih banyak masalah dalam hal menguruskan dua kota suci itu terutama pada musim haji.

“Bukan itu sahaja, agenda yang dibawa pertubuhan ini juga boleh mencetuskan perpecahan yang sangat bahaya kepada umat Islam di seluruh dunia.

“Apatah lagi negara kita mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan negara Asia Barat khususnya Arab Saudi sama ada dari segi kepimpinan mahupun ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Presiden World Assembly of Muslim Youth (WAMY) Malaysia, Shahrin Awaluddin, berkata sebagai NGO Islam mereka terpanggil untuk menolak dakwaan penubuhan Al-Haramain Watch kerana ia membabitkan nama Malaysia.

“Kami tidak mahu ada pihak yang sengaja mencetuskan provokasi dengan menuduh negara kita seolah-olah bersetuju dan tidak menafikan dakwaan laporan media Arab berkenaan.

“Atas alasan itu kami tampil pada hari ini dengan menyatakan pendirian kami bahawa Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan badan antarabangsa berkenaan,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");