Berita Hari Ini

Penjawat Awam Alami Krisis Integriti

ALOR SETAR: Kebanyakan penjawat awam menghadapi krisis integriti apabila sering kali dikaitkan dengan kes rasuah sehingga dikenakan tindakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar, berkata situasi itu ternyata tidak sihat untuk institusi penjawat awam di Malaysia dan ia harus dibendung sebelum menjadi barah.

Sehubungan itu, pihaknya mencadangkan supaya diwujudkan saringan berhubung rekod integriti terhadap mana-mana penjawat awam yang dinaikkan pangkat oleh pihak pengurusan masing-masing.

“Sekarang ini, penjawat awam hadapi krisis integriti kerana mereka tak takut terbabit dengan rasuah. Atas sebab itu, sudah tiba masanya diwujudkan saringan integriti sebelum mana-mana penjawat awam itu dinaikkan pangkat, selain melakukan pemeriksaan latar belakang mereka,” katanya menerusi laporan BH Online, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penahanan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perlis bersama dua lagi individu pada 30 Januari lalu oleh SPRM kerana disyaki terbabit dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Hasil siasatan SPRM mendapati, suspek dipercayai memiliki kekayaan bernilai jutaan ringgit membabitkan pelbagai aset mewah, termasuk memiliki sebuah kilang memproses air di Perlis.

Pada masa sama, Akhbar berkata, pegawai atasan harus memainkan peranan dengan peka terhadap tindakan kakitangan, termasuk gaya hidup mereka.

“Mengapa pegawai atasan tidak mengawasi kakitangan mereka? Takkan tak boleh nampak mereka ini mampu hidup mewah atau terlalu rapat dengan pelanggan.

“Individu yang mempunyai latar belakang integriti yang lemah tidak seharusnya dinaikkan pangkat meskipun mereka mempunyai kelayakan dan kehebatan dalam tugas masing-masing.

“Ini kerana kegagalan mereka menjaga integriti mampu mendatangkan kerugian buat kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, selain tindakan cekap SPRM dalam membanteras kes rasuah di negara ini, komitmen sama juga harus ditunjukkan oleh pihak lain, termasuk pendakwa raya dan sistem kehakiman negara.

“Mahkamah seharusnya menjatuhkan hukuman seberat-beratnya dalam memberi pengajaran selain memastikan mereka serik terbabit dalam jenayah ini, ” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");