Perak Hari Ini

Saran 64 Koperasi Sungai Siput Berada Dalam Satu Konsortium

SUNGAI SIPUT: Kesemua 64 koperasi di Parlimen Sungai Siput disaran bergerak di bawah satu gabungan ataupun konsortium bagi memudahkan setiap gerak kerja dan urusan koperasi pada masa akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata ia juga merupakan satu langkah bagi menggerakkan 8 koperasi yang dilaporkan berstatus tidak aktif.

“Mungkin agak sukar kerajaan negeri mahu memenuhi kepuasan bagi kesemua hasrat dan permintaan daripada setiap badan koperasi di Sungai Siput.

“Namun, apabila boleh mereka boleh bergerak di bawah satu konsortium yang sama, saya yakin, ia akan memudahkan lagi urusan kerajaan negeri meluluskan beberapa permintaan mereka.

“Jika sesebuah koperasi itu tak aktif, maka ia mungkin menyurkarkan mereka bagi mendapatkan sebarang geran mahupun kemudahan subsidi daripada kerajaan negeri,” katanya.

Jelasnya lagi, kesemua badan koperasi ini turut disaran bagi mengembangkan lagi potensi mereka kepada bidang-bidang lain, selain daripada projek pertanian dan peladangan.

Pada perkembangan sama, beliau juga menyeru golongan muda agar menyertai badan-badan koperasi ini selain mahu melihat masyarakat Orang Asli turut merebut peluang memajukan ekonomi setempat menerusi inisiatif yang sama ini.

“Dalam Parlimen Sungai Siput ini, kita ada sekitar 10,000 komuniti Orang Asli dan jika mereka tidak berusaha menceburkan diri dalam koperasi ini, mereka akan rugi,” ujranya.

 

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Lestari Modal Insan Koperasi, anjuran Maktab Koperasi Malaysia di Hotel MH Sentral Sungai Siput, dekat sini, hari ini.

Program yang bertemakan ‘Kerjasama Asas Amalan Koperasi’ ini turut mendapat kerjasama daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Perak dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Difahamkan, sehingga kini, Sungai Siput mempunyai seramai 10,959 keangotaan dalam koperasi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");