Isu Panas

Shahrizat Tak Nafi Tanding Di Sungai Besar

SUNGAI BESAR: Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abd Jalil dilihat seperti mengesahkan desas desus bahawa beliau akan bertanding di Parlimen Sungai Besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Malah, beliau juga tidak menafikan khabar angin itu apabila diminta mengulas jemputan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Jamal Md Yunus untuk menjadi calon di situ, seperti diumumkan kepada pemberita, hari ini.

Selain itu, Shahrizat turut menyatakan beliau bukanlah orang luar di Sungai Besar apabila persoalan calon orang luar diajukan kepadanya.

“Saya ingin bercakap mengenai beberapa perkara asas. Pertama saya bukan orang luar di Sungai Besar. Selaku Ketua Wanita UMNO Malaysia, malah sewaktu saya menjadi Naib Ketua pun, saya kerap juga datang di Sungai Besar ketika arwah Tan Sri Noriah Kasnon menjadi Ketua Wanita di sini.

“Sewaktu PRK (Pilihan Raya Kecil) juga saya bersama Datuk Yati Ketua Wanita UMNO Selangor (Datuk Norhayati Onn) dan wanita menjadi jentera tulang belakang di Sungai Besar. Bagi saya selaku ketua saya merasakan semua kawasan Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri) kita seperti satu keluarga dan tidak ada garis pemisah.

“Saya bukan pemimpin yang hanya duduk di Kuala Lumpur. Saya selalu turun ke padang dan saya memahami naluri dan juga citarasa di peringkat akar umbi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perkahwinan anak Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Ramli Norani di Taman Ehsan, di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jemputan Jamal untuk beliau bertanding di Parlimen Sungai Besar pada PRU-14 nanti.

Ditanya sama ada beliau bersedia untuk bertanding di Parlimen Sungai Besar, Shahrizat berkata sebagai seorang ahli politik, seseorang itu perlu bersedia untuk menghadapi segala-galanya termasuk menjadi calon payung terjun dan bekerja kuat serta mendapat tawaran permaidani merah.

Pada masa sama, Shahrizat menyifatkan jemputan tawaran permaidani merah oleh Jamal itu dianggap sebagai satu penghormatan kepada pemimpin wanita daripada seorang pemimpin lelaki.

“Saya rasa tersentuh hati bagi calon payung terjun mendapat tawaran seikhlas hati daripada Ketua Bahagian dan beberapa pihak di peringkat Bahagian.

“Saya melihat tawaran ini bukan hanya untuk saya, tetapi penghormatan seorang pemimpin lelaki kepada pemimpin wanita.

“Kami, wanita seluruh negara amat menghargai apabila seseorang ketua bahagian dengan ikhlas tanpa diminta dan dipujuk menyediakan karpet merah,” katanya.

Terdahulu, Jamal berkata, sendiri tidak keberatan untuk mencadangkan nama Shahrizat sebagai calon paling sesuai di kerusi itu.

Bagaimanapun, menurutnya, perkara itu belum dibincangkan secara rasmi di peringkat UMNO bahagian berkenaan.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");