Isu Panas

Serah Soal Calon Pada Kepemimpinan Tertinggi

SUNGAI BESAR: UMNO Selangor menyerahkan sepenuhnya soal calon yang bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kepada kepemimpinan tertinggi parti.

Pengerusi Perhubungannya, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau sendiri tidak mengetahui siapa calon yang bakal diketengahkan bagi menghadapi PRU14, meskipun terdapat UMNO Bahagian yang menamakan calon tertentu.

“Soal calon, kita menunggu arahan daripada pucuk pimpinan. Malah, saya sendiri tak tahu menjadi calon atau tidak,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil bertanding di Parlimen Sungai Besar.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengumumkan kesediaan beliau memberi laluan ‘permaidani merah’ kepada Shahrizat untuk bertanding di Parlimen Sungai Besar pada pilihan raya akan datang.

Noh berkata, UMNO Bahagian hanya boleh mencadangkan nama sahaja, manakala keputusan muktamad terletak sepenuhnya pada pimpinan tertinggi parti.

“Terpulang kepada pucuk pimpinan kerana mereka mempunyai formula tersendiri dalam memilih calon,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kerusi Parlimen Sungai Besar yang selama ini kuota tradisi untuk wanita UMNO, Noh berkata, beliau tidak ada sebarang kuota mengenainya.

“Seingat saya, mana ada kuota. Kita tidak mengekalkan kuota,” katanya.

Mengulas prestasi Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi yang menyandang jawatan selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kawasan Sungai Besar, Noh berkata, ia berada pada tahap amat baik.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");