Berita Hari Ini

Sudan Bebas 80 Tahanan Politik

KHARTOUM: Pihak berkuasa Sudan bakal membebaskan lebih 80 tahanan politik di sini, seminggu selepas perlantikan ketua keselamatan baharu.

Jurucakap presiden dalam satu kenyataan awal berkata, Presiden Omar Hassan al-Bashir mengarahkan lebih 80 tahanan politik dibebaskan.

Semua tahanan terbabit ditahan bulan lalu ketika berlaku bantahan susulan kenaikan harga barang.

Bantahan yang bertukar menjadi ganas itu juga berlaku akibat rasa tidak puas hati rakyat dengan keadaan ekonomi negara yang teruk.

Keluarga tahanan meraikan pembebasan mereka di hadapan bangunan penjara dengan ada antara mereka melaungkan ‘kebebasan, kebebasan’ dan menyanyikan lagu kebangsaan.

Wartawan Reuters berkata, seramai 40 tahanan sudah dibebaskan daripada penjara petang semalam.

Bagaimanapun, terdapat beberapa pemimpin pembangkang terkemuka masih ditahan.

Keadaan itu, menyebabkan beberapa orang bertindak membantah dengan duduk di hadapan bangunan penjara. Mereka tidak mahu beredar sebelum semua tahanan politik dibebaskan.

Amerika Syarikat pada Oktober tahun lalu menarik balik sekatan ekonomi selama 20 tahun terhadap Sudan.

Keadaan itu membuatkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mencadangkan negara Afrika itu mengapungkan mata wang untuk memulihkan ekonomi.

Sudan menolak cadangan itu tetapi memilih untuk menurunkan nilai mata wangnya pada Januari.

Pada masa sama subsidi gandum dikurangkan hingga memaksa ia dijual dengan harga tinggi di pasaran gelap dan menyebabkan kenaikan harga roti hingga mencetuskan demonstrasi lapor Reuters.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");