Berita Hari Ini

Accuhaler Seretide Di Pasaran Malaysia Selamat

KUALA LUMPUR: Penarikan balik produk Accuhaler Ventolin dan Seretide yang digunakan dalam rawatan pesakit asma dari pasaran tidak melibatkan Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Sebaliknya, beliau berkata penarikan balik produk tersebut hanya melibatkan sebilangan kelompok pasaran di United Kingdom (UK).

“Semakan juga mendapati pada masa ini hanya produk Accuhaler Seretide sahaja yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dengan nombor pendaftaran MAL20001532ARZ manakala produk Accuhaler Ventolin tidak berdaftar dengan PBKD.

“Selain itu, produk Accuhaler Seretide di Malaysia dikilangkan di Amerika Syarikat manakala produk yang terlibat dengan tarik balik di pasaran UK adalah kelompok produk yang dikilangkan di UK sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini lapor Bernama.

Beliau berkata demikian susulan artikel yang disiarkan laman portal berita bertajuk “Pesakit Asma, pastikan anda guna inhaler yang betul!” pada 23 Feb lepas mengenai penarikan balik produk Accuhaler Ventolin dan Seretide di pasaran UK.

Sehubungan itu, katanya produk Accuhaler Seretide di pasaran Malaysia adalah selamat, berkualiti serta berkesan dan pesakit tidak perlu khuatir menggunakan produk tersebut.

“Kementerian Kesihatan sentiasa mengambil berat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk farmaseutikal sebelum produk tersebut diluluskan untuk pendaftaran. Pengawasan mutu produk farmaseutikal yang berdaftar di pasaran turut dilakukan bagi memastikan produk tersebut benar-benar selamat,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata orang awam boleh menyemak status pendaftaran produk di laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di www.npra.moh.gov.my atau menghubungi pihak NPRA di talian 03-78835538 atau Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) di talian 1800 88 6722.

Beliau berkata semua produk yang berdaftar di Malaysia turut dilabelkan dengan nombor pendaftaran dan dilengkapi label hologram.

Sekiranya ketulenan hologram diragui, orang awam juga boleh mengesahkan kesahihannya melalui aplikasi MediTag Checker yang boleh dimuat turun di App Store dan Google Play telefon pintar masing-masing, katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");