Sukan Hari Ini

Bibi Ramjani Sendiri Mahu Lengkapkan Dokumen

KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) enggan mensia-siakan peluang yang diberikan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) dan akan melengkapkan dokumen yang diperlukan dalam tempoh ditetapkan.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, penangguhan hukuman pemotongan mata ke atas 10 pasukan termasuk Kelantan adalah peluang yang perlu dimanfaatkan bagi memperbetulkan dokumen.

Selain itu, katanya, beliau sendiri akan ‘turun padang’ untuk melakukan kerja terbabit bagi memastikan dokumen yang diperlukan badan pengelola Liga M itu lengkap.

“Terima kasih kepada pihak FMLLP kerana masih memberi ruang dan peluang kepada Kelantan yang menjadi antara pasukan yang gagal melengkapkan pendaftaran pasukan musim ini.

“Dalam memastikan dokumen yang diperlukan betul-betul lengkap saya sendiri akan mengambil alih tanggungjawab itu daripada kakitangan yang terbabit (sebelum ini) supaya dapat betul-betul pastikan apa yang belum ada,” katanya menerusi laporan BH Online, hari ini.

Semalam, Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan pihaknya menangguhkan hukuman terbabit sehingga tempoh pendaftaran pemain baru musim depan iaitu penghujung tahun ini.

Tindakan itu juga diperkenalkan sebagai penangguhan hukuman pemotongan mata yang mana rayuan untuk mengurangkan hukuman itu turut dibuka kepada pasukan terbabit dan perlu dikemukakan dalam tempoh 14 hari.

Pada 19 Februari lalu, FMLLP mendedahkan empat pasukan Liga Super termasuk Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor dan PKNS FC serta enam dari Liga Perdana iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM, MIFA dan UKM FC tidak melengkapkan pendaftaran atau menghantar dokumen pendaftaran melepasi tarikh akhir ditetapkan.

Dalam kenyataan sama, Bibi Ramjani berkata, pihaknya sentiasa membuka ruang kerjasama yang sebaiknya dengan FMLLP bagi memastikan pasukannya tidak terbabit dalam sebarang hukuman.

“KAFA akan memberi kerjasama sebaik mungkin supaya pasukan Kelantan tidak dikenakan apa apa tindakan yang mana beberapa kali peluang sudah diberikan FMLLP,” katanya.

Kelantan pernah dihukum oleh FMLLP apabila gagal melengkapkan pendaftaran pasukan dengan mengemukakan pelan pembayaran bagi hutang tertunggak musim lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");