Berita Hari Ini

Daim Kagumi Sanusi

SHAH ALAM – Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid disifatkan bukan hanya tokoh politik dan pemikir yang dikagumi, malah rakan politik yang boleh dipercayai dan jujur.

Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin ketika berkongsi sikap rakan baiknya itu mendedahkan Sanusi adalah seorang pemimpin berprinsip yang tidak mengamalkan rasuah dan mempunyai nilai moral yang tinggi.

Sebagai pemimpin yang pernah memegang pelbagai jawatan menteri Kabinet dan turut menjadi Menteri Besar, Sanusi pernah membongkarkan kepada beliau bagaimana cubaan merasuahnya berjaya ditepis.

“Ketika menjadi Menteri Besar, dia memberitahu saya banyak cubaan untuk merasuahnya bagaimanapun beliau telah membuatkan orang yang cuba memberinya rasuah itu malu sendiri,” katanya.

Allahyarham Sanusi memegang jawatan terakhir sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu meninggal dunia pada 9 Mac lepas di sisi isterinya, Puan Seri Nila Inangda.

Sanusi pernah memegang jawatan penting dalam Kabinet sebagai Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar pada 1981, Menteri Pertanian (1986) dan Menteri Besar Kedah yang ketujuh (1996-1999).

Mengimbau perkenalan awalnya dengan Sanusi, Daim yang turut berasal dari Kedah memberitahu pertama kali berjumpa Sanusi adalah pada tahun 1980 ketika dilantik sebagai senator dan sejak dari hari itu, mereka menjadi rapat.

Dari segi politiknya, Sanusi dianggap ahli politik yang bijak dan berstrategi yang boleh dilihat ketika beliau dilantik sebagai Menteri Besar selepas pelantikan tersebut tertangguh beberapa lama berikutan bantahan daripada beberapa pihak.

Jelasnya, Sanusi seolah-olah tahu siapa dalang yang membangkitkan bantahan tersebut namun dia tetap tenang menggerakkan perancangan memastikan hala tuju sehingga beliau dapat menjadi Menteri Besar.

“Dia adalah seorang yang mempunyai strategi yang bagus dan sentiasa menunaikan tugas dan janjinya. Dia adalah seorang yang berpegang kepada janji dan boleh dipercayai,” katanya.

Jelasnya, PRU10 pada 1999 adalah sangat mencabar di mana ketika itu PKR memberi tumpuan di Kedah, BN di bawah pentadbiran Sanusi masih mampu menang dua pertiga majoriti walaupun kehilangan beberapa kerusi.

Bagaimanapun sebagai seorang berjiwa mulia dan ‘gentleman’, Sanusi mengambil tanggungjawab untuk meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah walaupun ramai penyokong memintanya untuk kekal.

“Dia adalah seorang ‘story teller’ yang hebat, lucu dan saya tidak pernah ada waktu yang sedih ketika bersama-samanya. Walaupun dia pendiam, dia mempunyai rangkaian yang luas terutama di Indonesia dan China.

“Saya kehilangan seorang kawan baik, seseorang yang sangat setia dan tidak pernah menjatuhkan kawan lain, Dia berani, tidak pernah menyakiti dengan perkataan dan paling penting tidak rasuah serta mempunyai moral yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata, pertemuan terakhir dengan Sanusi adalah beberapa minggu sebelum kematiannya apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengajaknya melihat Sanusi.

Pertemuan tersebut bagaimanapun tidak menyentuh sebarang isu politik sebaliknya menumpukan terhadap kebimbangan berhubung krisis ekonomi masa depan.

“Saya tidak pernah terfikir bahawa pertemuan antara saya dan Sanusi itu adalah salam perpisahan terakhir,” katanya.-Sinar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");