Membawang Hari Ini

Dapat Watak Sama, Tam Beralih Jadi Pengarah

KUALA LUMPUR: Selepas berasakan watak ditawarkan kepadanya tidak lagi mencabar diri, pelakon, Tam Suhaimi, kini semakin mengorak langkah sebagai pengarah pula.

Kata Tam, 38, sehingga kini beliau sudah pun mengarahkan lebih 15 drama dan telefilem sejak aktif membabitkan diri dengan kerja di belakang tabir sejak beberapa tahun lalu.

“Saya sebenarnya masih menerima tawaran berlakon. Namun, selalunya watak yang diberikan kepada saya masih sama dengan apa yang diterima kira-kira dua dekad lalu.

“Mungkin kerana tubuh saya yang kecil, jadi watak dihulurkan juga masih karakter remaja.

“Kali terakhir saya berlakon di kaca TV adalah menerusi telefilem berjudul Mama Zumba, sekitar 2015. Saya berbuat begitu pun atas ‘paksaan’ teman seperjuangan, Liyana Jasmay. Saya juga berlakon dalam filem terbitan Mermaid Studio miliknya, berjudul Bella & Jamie,” katanya

Tam yang julung kali beraksi di depan kamera menerusi Nur Islam siaran TV3 berkata, dirinya mula aktif mengarah pada 2013.

“Begitupun, kalau mahu diimbas semula, pada usia 16 tahun lagi saya pernah diberi kepercayaan sebagai penolong pengarah untuk Erma Fatima, Bade Azmi, Aziz M Osman dan Melissa Saila. Ketika itu juga saya sudah dicabar oleh Aziz untuk menulis skrip,” katanya.

Telefilem arahannya, Menantu Material, juga pernah berada dalam kelompok lima terbaik pada Anugerah Skrin 2017. Cuma, rezeki belum menyebelahi Tam apabila naskhah arahan Erma, Pesan Dari Tuhan, yang mengungguli acara terbabit.

“Walaupun tidak menang, secara peribadi, saya melihat ia sebagai pencapaian terbesar dalam kerjaya seni. Dapat duduk sebaris dengan Erma pun sudah dikira begitu membanggakan buat saya,” katanya.

Malam ini, sebuah lagi telefilem arahannya berjudul Cinta Tanpa Syarat bakal disiarkan menerusi ntv7, jam 8.30 malam. Ia menampilkan pelakon seperti sensasi, Elfira Loy, Harris Baba, Kilafairy, Emelda Rosemila, Dafi dan ramai lagi.

Drama itu mengisahkan seorang lulusan seni reka fesyen, Zahirah, yang dikejutkan dengan berita sebuah keluarga hadir untuk merisik dirinya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");