Isu Panas

Dari Awal Tahu PPBM Tak Berduit

PETALING JAYA: Bekas naib ketua PPBM Kota Bharu yang keluar parti untuk menyertai PAS berkata beliau dari awal lagi tahu parti yang diadakan Tun Dr Mahathir Mohamad itu bukan parti berduit.

Mohd Nor Hashim Che Min menyifatkan tuduhan “makan dedak” yang dilemparkan terhadapnya sebagai tidak adil kerana pernah mendedahkan beliau tidak berpuas hati dengan isu urus tadbir parti.

“Kalau saya nak apa-apa dari awal saya tak masuk PPBM sebab saya tahu PPBM bukan ada duit,” katanya, menjawab kenyataan Pengerusi PPBM Kelantan Datuk Kamaruddin Mohd Noor semalam.

Kamaruddin mengagak Nor Hashim keluar kerana tidak dapat sesuatu yang diharapkan bersesuaian dengan jawatan yang dipegangnya.

PPBM bersama-sama Pakatan Harapan sedang bersiap sedia untuk pilihan raya umum ke-14.

“Pada waktu saya belum umum keluar parti, mereka kata saya makan dedak Umno tapi sekarang saya masuk PAS. Kalau saya dapat dedak Umno, saya masuk Umno semalam,” kata Nor Hashim.

Menurut beliau, dia dan 33 bekas ahli PPBM memilih PAS kerana merasakan Kelantan lebih baik bersama PAS daripada PH Kelantan atau BN Kelantan.

“Kalau nak kata PAS bayar kami, kita dah tahu PAS tak ada duit,” katanya.

Bukan nak jadi calon

Nor Hashim juga menafikan apabila ditanya adakah dia tidak berpuas hati kerana tidak dicalonkan untuk kerusi Kota Bharu pada PRU14.

“Macam mana pula saya yang nak jadi calon sedangkan ketua bahagian ada?” katanya.

“Saya berjuang semasa saya jadi penyelaras lagi. Saya adalah ketua pendaftar bahagian dan kita yang buat kerja. Kalau kata saya nak jadi calon, jauh sekali, sebab saya tahu kemampuan saya.”

Nor Hashim berkata mereka yang keluar semalam mengadu perkara yang sama, iaitu isu urus tadbir parti.

“Kata macam-macam sebab tak ada alasan…nak tutup malu sebab itu reka kata kami tak dapat habuan padahal malu sebab gagal urus parti.”

Sebelum ini dilaporkan 34 ahli PPBM Kota Bharu termasuk naib ketua, ketua wanita dan ketua pemuda serta 12 ketua pusat daerah mengundi keluar parti kerana hilang kepercayaan terhadap pengerusi nasional, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan ketua bahagian, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Pengerusi PPBM Kelantan bagaimanapun tidak pasti sama ada 32 orang yang keluar bersama-sama Nor Hashim dan seorang bekas ketua wanita bahagian itu adalah bekas ahli parti.

“Pengerusi negeri tapi tak kenal ahli bahagian. Takkan kami nak ambil orang luar? Kami boleh tunjuk nombor keahlian…kita tak buat kerja bodoh sebab kerja sebab kerja bodoh akan perangkap diri,” katanya.

Hashim tidak menolak akan ada lagi ahli PPBM dari Kota Bharu dan bahagian lain akan mengikut jejak mereka.

“Ada lagi yang akan keluar cuma tunggu masa. Bila? Saya tidak tahu sebab saya tak pernah ‘cucuk’ orang,” katanya.

Beliau berkata melihat kepada keadaan Pakatan Harapan sekarang, tidak nampak ada tanda-tanda PH mampu menumbangkan PAS.

“Jentera PH lemah, PAS masih kuat, kalau Datuk Husam Musa lawan Datuk Takiyuddin Hassan (Yang Dipertua PAS Kota Bharu) pun Husam akan kalah walaupun dia bekas exco,” katanya.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");