Jenayah

Dibelasah Selepas Dituduh Ganggu Pelajar Perempuan

KLANG – Seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua sebuah Sekolah Menengah di sini dibelasah dua pelajar lain, Jumaat lalu selepas dia dituduh cuba mengganggu pelajar perempuan di sekolah itu.

Video berdurasi 42 saat yang tular itu memaparkan pelajar berusia 14 tahun itu dipukul dan ditendang dua pelajar tersebut sambil disaksikan beberapa pelajar lain di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kes itu berlaku pada Jumaat lalu ketika hari terakhir persekolahan sebelum cuti sekolah penggal pertama bermula.

“Siasatan mendapati mangsa mahu pulang ke rumah sebaik selesai sesi persekolahan bagaimanapun dia dipanggil seorang pelajar lain sekitar jam 12.30 tengah hari.

“Mangsa kemudiannya diminta mengikuti pelajar itu ke kawasan landskap belakang sekolah,” katanya melalui satu kenyataan lapor Sinar Harian.

Menurutnya, sebaik tiba di situ mangsa dipukul individu itu bersama seorang lagi pelajar lain dengan menggunakan tangan dan kaki.

“Seorang pelajar yang berada di tempat kejadian cuba meleraikan perbuatan dua pelajar terbabit terhadap mangsa.

“Ekoran kejadian itu, mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR),” katanya.

Shamsul Amar berkata, tiada kesan kecederaan fizikal didapati pada badan mangsa.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berkenaan kes itu.

“Mangsa memaklumkan dia dipukul selepas suspek mendakwa dia menganggu pelajar perempuan di sekolah itu,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");