Jenayah

Dipenjara Empat Tahun Miliki Majalah Sokong Pengganas

KUALA LUMPUR – Seorang peniaga dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini kerana memiliki 27 naskhah majalah berkaitan kumpulan pengganas Daesh di dalam telefon bimbitnya, Ogos tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Jailani Jurimi, 41, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut di bilik kawalan Terminal TCO, Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru, Johor.

Mahkamah memerintahkan Jailani menjalani hukuman penjara tersebut bermula daripada tarikh tangkap iaitu 7 Ogos 2017.

Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Mohd. Sofian menasihatkan agar tertuduh memperbaiki diri dan apabila dibebaskan dan menjadi rakyat yang berguna kepada bangsa dan negara.

“Kamu bernasib baik selepas pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan alternatif yang memperuntukkan hukuman yang lebih ringan berbanding asal yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun.

“Daripada penelitian barang kes, majalah ini mengandungi rencana, gambar yang boleh membakar semangat untuk menyertai kumpulan Daesh,” katanya memetik sumber Sinar Harian.

Tambahnya, jika dibaca lambat laun akan menimbulkan rasa simpati dan mendorong untuk menyertai perjuangan mereka.

Mengikut pertuduhan, Jailani didakwa memiliki 15 naskhah majalah Dabiq, 10 naskhah majalah Rumiyah dan dua naskhah majalah Waislama yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Daesh di dalam telefon bimbit pada pukul 5.30 pagi, 7 Ogos tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130Jb (1)(a) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 130JB(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan barangan boleh dilucut hak.

Sementara itu, berdasarkan fakta kes, semasa tangkap, terdapat 27 salinan dokumen berbentuk PDF berkaitan keganasan di dalam telefon bimbitnya.

Hasil analisis, kesemua majalah tersebut secara terang menyatakan sokongan terhadap perjuangan kumpulan Daesh melalui tajuk serta isi kandungan yang membawa maksud dakyah dan sokongan padu terhadap perjuangan kumpulan itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadzlan Mohd Noor bertindak bagi pihak pendakwaan manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");