Jenayah

Guru Rugi Hampir RM10,000 Kerana Ditipu

KUALA TERENGGANU: Seorang guru terkedu selepas ditipu sebuah agensi pelancongan yang dikenali sejak 13 tahun lalu.

Kejadian berlaku pada 21 Febuari lalu, kira-kira jam 6.30 petang, selepas mangsa, 45, dihubungi seorang wanita, mendakwa wakil daripada agensi pelancongan yang sudah menyepi sepanjang tempoh berkenaan.

Wanita itu memaklumkan akan mengenakan tindakan undang-undang kerana kegagalan menjelaskan yuran keahlian yang sebelum ini dijanjikan secara percuma.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, wakil agensi itu meminta mangsa menghubungi peguam syarikatnya untuk berbincang mengenai kes saman yang difailkan kerana kesalahan itu.

“Mangsa dimaklumkan gagal menjelaskan yuran keahlian berjumlah RM32,300.

“Terkejut dengan berita itu, mangsa seterusnya bersetuju untuk berbincang dengan peguam tersebut sebelum ditawarkan alternatif untuk pembatalan keahliannya dan tidak memanjangkan saman.

“Mangsa diarahkan membuat pembayaran RM9,000 sebelum jam 8 malam hari tersebut tetapi merayu agar diberikan peluang untuk membuat pembayaran sebanyak dua kali,” katanya menerusi laporan Sinar Harian, hari ini.

Idris berkata, kemudian wanita itu bersetuju dengan rayuan tersebut sebelum mengarahkan membuat pembayaran RM3,600 dahulu dan menjelaskan baki pada hari seterusnya.

“Mangsa terus membuat pembayaran ke dalam akaun bank diberikan tanpa was-was sebelum menjelaskan baki pada hari keesokannya.

“Selepas menjelaskan kesemua baki, mangsa meminta agensi pelancongan itu menghantar segala dokumen pembatalan keahlian ke emel miliknya,” katanya.

Jelasnya, bagaimanapun, wakil agensi pelancongan itu memberi alasan tidak dapat menyerahkan dokumen pembatalan kerana mangsa perlu membuat pembayaran sekali lagi untuk pembuangan kes terlebih dahulu.

“Mangsa bagaimanapun enggan berbuat demikian dan mengambil keputusan membuat laporan polis selepas yakin dirinya sudah ditipu.

“Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun keseksaan kerana menipu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");