Berita Hari Ini

Jho Low, Riza Aziz Tidak Isytihar Pendapatan Di Negara Ini

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak dapat mengenakan cukai ke atas ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho (Jho Low) dan anak tiri perdana menteri, Riza Aziz memandangkan kedua-dua mereka tidak mengisytiharkan pendapatan di negara ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, menurut fail cukai LHDN, tiada rekod bagi kedua-dua nama individu berkenaan mengisytiharkan pendapatan di dalam negara bagi membolehkan mereka dikenakan cukai.

“Mengikut fail cukai kita, tidak ada. Nama-nama ini tidak ada dalam fail kita kerana mereka tidak isytihar pendapatan dalam negara. Kalau dia isytihar, kita akan kenakan cukai,” katanya dalam perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini lapor Sinar Harian.

Johari berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang bertanyakan mengenai sumber kewangan Jho Low dan Riza yang didakwa tiada kaitan dengan 1MDB selain bertanya adakah siasatan dilakukan untuk mengenal pasti sumber kewangan mereka adalah secara sah atau tidak.

Bagaimanapun, Johari menjelaskan dia tidak boleh menjawab lanjut soalan berkenaan memandangkan perkara yang dibangkitkan itu di luar bidang kuasanya.

“Isu yang dibangkitkan ialah isu penyiasatan, saya tidak berada dalam kedudukan untuk memberi jawapan kerana saya tidak berada dalam kedudukan penyiasatan,” katanya.

Sementara itu, menurut Johari, LHDN memberi jaminan akan mengambil tindakan terhadap syarikat atau individu yang mempunyai aset dan pendapatan di negara ini, tetapi tidak membayar cukai.

“Pihak LHDN beri jaminan tidak kira siapa, selagi ada pendapatan di Malaysia, syarikat yang didaftar di Malaysia dan ada pendapatan, kalau mereka tidak bayar cukai, ‘income tax’ akan kejar anda.

“Kalau tidak dapat hari ini, mungkin esok, kalau tidak esok, hari berikutnya, kalau tidak tahun ini, tahun depan, dia mesti akan dapat.

“Saya nak bagitahu di sini, tidak kira siapa samada pendapatan secara individu atau pendapatan melalui syarikat, kedua-duanya akan dikenakan cukai selagi berada di dalam bidang kuasa LHDN.

“Jadi saya tekankan sekali lagi, tak kira siapa, perdana menteri atau menteri kewangan II, kalau ada pendapatan di Malaysia, anda akan dikenakan cukai,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");