Sukan Hari Ini

‘Kami Boleh Lumpuh’

KUALA LUMPUR: “Kami berharap rayuan yang akan kami kemukakan mendapat pertimbangan FMLLP, kerana denda RM1.5 juta itu boleh ‘melumpuhkan’ pasukan,” kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa.

Beliau berkata, dengan beban kewangan yang ditanggung oleh pasukan yang baru dinaikkan taraf ke Liga Super itu, jumlah denda yang dikenakan atas kesalahan gagal melengkapkan pendaftaran Liga Malaysia (Liga-M) musim ini sememangnya amat dirasai.

“Kami akan membuat rayuan sebelum tarikh akhir 20 Mac ini, kami akan meneliti segala maklumat sebelum surat rayuan itu dihantar. Kalau boleh denda itu dapat dikurangkan atau hanya diberikan amaran keras, kerana ini kesalahan pertama kami.

“Kami juga pasukan baru dari Liga Perdana, kalau nak bayar memang tidak ada duit, mungkin terpaksa harap duit geran daripada FAM untuk membayar denda itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menerusi laporan Sukan NSTP semalam, 10 pasukan Liga-M termasuk empat pasukan Liga Super dijatuhkan hukuman denda keseluruhan RM9 juta oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) atas kesalahan gagal melengkapkan pendaftaran musim ini.

Pasukan Liga Super, Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor dan PKNS FC paling perit apabila terpaksa membayar denda RM1.5 juta manakala enam pasukan Liga Perdana, Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM, MIFA dan UKM FC pula RM500,000.

Hukuman itu dijatuhkan susulan Kelantan, Kuantan FA, Sarawak dan Pulau Pinang gagal melengkapkan dokumen manakala MIFA, UKM, Selangor, PKNS, PDRM dan Kuala Lumpur pula menghantar dokumen pendaftaran selepas tarikh akhir, 5 Mac lalu.

Lebih malang apabila pasukan yang gagal menghantar dokumen berdepan hukuman pemotongan enam mata manakala pasukan lewat menghantar dokumen pula tiga mata.

Bagaimanapun, hukuman pemotongan mata itu ditangguhkan sehingga 31 Disember ini bagi memberi peluang kedua kepada pasukan terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam memaklumkan masih ada peluang buat semua pasukan membuat rayuan bagi meringankan hukuman berkenaan.

Bagi Nokman, pihaknya sudah menghantar semua dokumen pendaftaran yang diperlukan secara berperingkat sebelum 1 Mac lalu dan kini menunggu maklum balas pihak FMLLP.

“Kami akui ada kelewatan dalam melengkapkan segala dokumen itu dan ini sebagai pengajaran buat kami pasukan yang baru ke Liga Super,” katanya.

Sementara itu, bagi pengurus pasukan PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abd Rashid turut mengakui denda RM1.5 juta itu berat namun akur dengan keputusan FMLLP.

“Kami akan buat rayuan, kami harap akan ada pertimbangan kerana ini hukuman baru. Memang pasukan memerlukan perbelanjaan besar kerana kami juga menanggung pasukan Piala Presiden, Piala Belia dan juga akademi yang kami tubuhkan.

Kita lihat hasil rayuan nanti dan apa sekali pun kami akur dengan segala keputusan. Apa yang berlaku ini kami ambil iktibar supaya tidak berulang di masa depan,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");