Berita Hari Ini

Kawal Selia Perubatan Tradisional, Komplementari

KUALA LUMPUR – Rangka Tindakan Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&CM) antara lain bertujuan memudahkan urusan kawal selia, integrasi dan pembangunan ekonomi industri T&CM bagi menjamin ia dapat menyumbang secara optimum kepada sistem penjagaan kesihatan di negara ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata rangka tindakan itu juga bertujuan mencapai matlamat ekonomi dan sosiobudaya, memaksimumkan capaian sistem kesihatan terhadap liputan kesihatan universal serta meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Rangkatan tindakan ini disusuli dengan penguatkuasaan Akta Perubatan Tradisionl dan Komplementari 2016 (Akta 775). Akta ini menjadi pemangkin bagi kemajuan dalam pelbagai aspek, terutama penyelidikan, pembinaan keupayaan, tadbir urus, pendidikan dan kawal selia produk T&CM.

“Oleh kerana perkembangan ini menjadi semakin kompleks, sengit dan pelbagai, maka terdapat keperluan mendesak untuk melihatnya melalui gambaran lebih luas, memikirkannya dari segi jangka panjang dan melaksanakan tindakan secara bersepadu. Maka, Rangka Tindakan T&CM akan memenuhi tujuan itu,” katanya selepas melancarkan Rangka Tindakan T&CM 2018-2027 (Penjagaan Kesihatan), pada Selasa.

Dr Subramaniam berkata rangka tindakan itu telah mengenal pasti 17 cabaran dihadapi industri T&CM serta mengkategorikannya ke dalam empat bidang iaitu amalan, pendidikan dan laitan, bahan dan produk perubatan serta penyelidikan.

Katanya, sebagai respons terhadap cabaran itu, enam arah tuju umum disusun bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan yang muncul serta untuk menangani isu dan cabaran industri berkenaan.

“Rangka tindakan ini seterusnya mencadangkan 22 strategi dan 52 pelan tindakan, sejajar dengan arah tuju umum tesebut, yang akan meliputi tempoh pelaksanaan selama 10 tahun dan tempoh semakan semula lima tahun,” kata beliau.

Antara strategi yang dicadangkan dalam rangka tindakan itu bagi tujuan pembangunan ialah mengenal pasti dan memberi pengikirafan kepada pengamal berdaftar oleh badan bertauliah yang dilantik oleh kementerian serta mengkaji semula status premis T&CM daripada sektor awam dan swasta.

Dr Subramaniam berkata ketika ini terdapat lebih kurang 15,000 pengamal T&CM berdaftar di seluruh negara lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");