Isu Panas

Utamakan Rakyat, Politik Kemudian – Maximus

PUTRAJAYA: Kerajaan Selangor diminta tidak bermain politik, sebaliknya mengutamakan rakyat dengan menyelesaikan masalah air di negeri itu.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata keengganan kerajaan Selangor untuk menyatakan sebut harga kepada Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) menyebabkan perjanjian penstrukturan air di negeri itu masih gagal dilengkapkan.

“Kita mula bosan dan kecewa kerana sudah tiga kali sambungan tempoh masa diberikan untuk menyempurnakan perjanjian (penstrukturan air) itu.

“Nampaknya kerajaan Selangor seperti tidak mahu memenuhinya, sikap main-main dan tidak serius kerajaan Selangor hingga hari ini menyebabkan rakyat negeri berkenaan terus menderita dengan krisis air dan tidak mustahil perkara itu akan berlarutan,

“Jadi kerajaan Selangor tidak perlu main politik, utamakan rakyat dahulu, politik kemudian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat baharu Yayasan Hijau Malaysia pada Selasa lapor Berita Harian.

Beliau berkata, sekiranya perjanjian penstrukturan air itu gagal dan masalah air di Selangor berterusan, kerajaan akan melihat beberapa pilihan bagi merungkai krisis air di Selangor.

“Seperti saya nyatakan di Parlimen, kita akan pertimbang untuk meneliti pilihan perundangan, termasuk menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2005 (Akta 655) dan selain itu menguatkuasakan Seksyen 114 menerusi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006,” katanya.

Mengenai Yayasan Hijau Malaysia, Maximus berkata, yayasan itu memainkan peranan yang baik dalam memperkenalkan gaya hidup hijau dalam kalangan rakyat termasuk pelajar sekolah dan penuntut universiti.

“Yayasan ini memberikan fokus kepada perubahan minda dan kepentingan amalan gaya hidup hijau tidak kira di bandar mahupun desa, dengan beroperasi di pejabat baharu ini saya percaya mereka akan terus bersemangat untuk melaksanakan amanah yang diberikan.

“Yayasan ini juga sebuah syarikat yang tidak bermotifkan keuntungan dan saya percaya selepas ini lebih banyak program akan dianjurkan secara bersama dengan kementerian,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");