Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Lulus Peruntukan RM5 Juta, Pembinaan Bangunan Gudang Di TT5

TANJUNG TUALANG:Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sejumlah RM5 juta bagi pembinaan dua bangunan gudang yang akan beroperasi di Kapal Korek Tanjung Tualang NO.5 (TT5) di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata peruntukan tersebut bertujuan untuk menyediakan ruang komersil dan kemudahan pelawat untuk mengadakan aktiviti lebih lama di ruang kawasan TT5.

“Pembangunan salah satu khazanah negara, TT5 telah mencapai satu tahap yang membanggakan dimana prosesnya berhadapan dengan pelbagai rintangan dalam memastikan produk ini terus kekal sebagai warisan untuk dikongsikan kepada generasi baru.

“Setakat ini pelbagai aktiviti dan pembaharuan serta usaha memasarkan produk TT5 secara domestik dan antarabangsa seperti khidmat ‘tour guide’ atas kapal korek, sediakan contoh palong, malah lokasi ini turut dijadikan tempat bagi acara seperti bazar yang dibuka untuk jualan pelbagai sajian makanan dan ‘busking’ setiap hujung minggu,” katanya pada majlis pra Pelancaran Kapsul Masa Di Kapal Korek Tanjung Tualang NO.5 (TT5) di sini hari ini.

 

Turut hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Datuk Aminudin Hashim.

Beliau terdahulu telah merasmikan pelancaran kapsul masa TT5 yang mana coretan dan kisah yang ditulis akan disimpan dan dibuka selepas 20 tahun.

Jelas Nolee lagi, pembangunan TT5 menggunakan pendekatan model Pelancongan Berasaskan Komuniti yang mana melibatkan kerjasama daripada pihak Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc).

“Sememangnya bukan mudah mempamerkan kapal korek yang masih cantik tetapi yang penting adalah faktor keselamatan dan keselesaan yang dapat diutamakan setiap kali menerima kehadiran pelawat ke TT5.

“TT5 merupakan satu kluster pelancongan terpenting kita harapkan pihak swasta berkecimpung akan tampil ke hadapan bersama pihak kerajaan membangunkan kluster ini sebagai satu kluster bertaraf antarabangsa,” katanya.

Peruntukan RM5 juta itu bakal merangkumi penyediaan dua bangunan gudang untuk penganjuran majlis serta ruang perniagaan, dan tempat pengurusan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");