Membawang Hari Ini

Khai Bahar Belum Sedia Berlakon

KUALA LUMPUR: Meskipun kedudukannya sebagai penyanyi semakin kukuh dengan pelbagai pencapaian cemerlang sepanjang tahun lalu, Khai Bahar mengakui, masih belum bersedia meneroka cabang seni baharu.

Memetik laporan BH Online, penyanyi yang popular dengan lagu Luluh dan Bayang itu sebelum ini dikatakan bakal menceburi dunia lakonan dengan membintangi drama Pengantin Musim Salju yang diterajui Siti Nordiana dan Alif Satar.

Namun, cerita itu berlalu begitu saja membuatkan ramai yang tertanya-tanya kedudukan sebenar. Merungkai persoalan itu, Khai yang ditemui pada majlis sambutan hari ulang tahun kelahirannya yang ke-24, baru-baru ini berkata, dia masih belum bersedia untuk berlakon.

“Biarlah saya memberikan fokus kepada bidang nyanyian kerana masih banyak yang perlu diperbaiki. Saya tidak mahu tergesa-gesa mencuba itu dan ini, bimbang nanti tidak memberikan hasil yang diharapkan.

“Saya percaya, apabila tiba masa, pasti ada ruang untuk saya kembangkan bakat dalam dunia lakonan. Ketika ini, saya lebih selesa menyanyi dan tidak mahu peningkan kepala lakukan dua kerja serentak.

“Mungkin nama saya popular, tetapi bakat saya juga harus seiring. Nyanyian saya masih belum mencapai tahap membanggakan. Masih banyak kritikan yang saya terima, membuatkan saya ingin segera memperbaiki kekurangan itu,” katanya.

Meraih trofi sepanjang tahun lalu, termasuk Artis Baharu Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular pada kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, Khai berkata, dia tidak bermaksud untuk menolak rezeki.

Keputusan itu sebaliknya dibuat selepas perbincangan dengan pengurusannya, terutama jejaka yang mula dikenali menerusi aplikasi Smule itu bakal muncul dengan single duet bersama penyanyi baharu, Fatin Husna.

“Lagu itu sudah dirakamkan, cuma belum diberi judul. Selain terikat dengan promosi single baharu, saya juga dijadualkan kembali ke studio untuk merakamkan dua lagi lagu solo.

“Insya-Allah, jika segala perancangan menjadi kenyataan, saya juga akan merakamkan lagu duet bersama Siti Nordiana. Melihat kesibukan itu, lebih baik saya tumpukan perhatian penuh kepada nyanyian.

“Saya tidak menyesal menolak peluang di depan mata kerana percaya rezeki ada di mana-mana. Saya tidak mahu tamak kerana bimbang nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran,” katanya.

Khai berkata, selain itu, dia juga sedang membuat persiapan untuk menjayakan persembahan mini di Bandung, Indonesia pada Mei ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");