Berita Hari Ini

Nafi Sabotaj Air Di Selangor – KeTTHA

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) menafikan punca catuan bekalan air di Selangor angkara tindakan sabotaj penutupan paip utama.

Sebaran berita palsu oleh penyokong pembangkang menerusi ‘Edisi Kantoi’ itu sebaliknya dikitar semula kerana gambar sama pernah disebarkan pada 2013 dan 2014, dengan ‘menuding jari’ kepada Kerajaan Persekutuan, kononnya mendalangi sabotaj terbabit.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang, menyifatkan sebaran fitnah terbabit tindakan kotor cubaan menyembunyikan ketidakcekapan Kerajaan Selangor dalam pengurusan bekalan air kepada pengguna di negeri itu.

“Rizab margin simpanan air di Selangor pada 2017 adalah sifar peratus. Justeru, ia dikenal pasti antara faktor penyumbang utama masalah bekalan air di negeri terbabit.

“Jika berlaku kerosakan loji, paip pecah atau peningkatan permintaan secara mendadak seperti di musim perayaan, kemungkinan kawasan tertentu di Selangor untuk mengalami gangguan bekalan air adalah tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini memetik sumber laporan Berita Harian.

Beliau mengulas penularan dakwaan menerusi media sosial oleh penyokong pembangkang bahawa krisis air di Selangor berikutan gerakan mensabotaj dengan penutupan paip utama.

Sebaran fitnah itu memetik maklumat yang kononnya disampaikan kakitangan Puncak Niaga dan petugas loji terbabit, turut mendakwa 20 paip ditutup, manakala hanya dua saluran air dibuka bagi mencetuskan kemarahan rakyat di negeri berkenaan.

PENDUDUK mengambil bekalan air bersih daripada lori SYABAS di Taman Bukit Kuchai, Kuala Lumpur. – Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Zaini berkata, catuan bekalan air adalah petunjuk utama dalam mengukur tahap kecekapan perkhidmatan bekalan air di Selangor yang ketika ini merekodkan jumlah gangguan tertinggi iaitu 259,537 kes pada 2016, berbanding Pulau Pinang (3,778 kes) dan Melaka (2,267 kes).

Tampil mengemukakan penyelesaian, Zaini berkata, ‘jalan keluar’ kepada krisis bekalan air di Selangor berupaya dilaksanakan menerusi tiga mekanisme.

Katanya, ia merangkumi penambahan bekalan air terawat menerusi pembinaan loji rawatan baharu dan mengurangkan kadar air hilang di Selangor sehingga mencapai sasaran nasional iaitu 25 peratus, berbanding 32 peratus ketika ini.

“Mekanisme terakhir adalah dengan mengurangkan penggunaan air perkapita di Selangor yang ketika ini 234 liter perkapita sehari kepada kadar nasional, 209 liter perkapita sehari,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");