Perak Hari Ini

Penduduk Mohon Tasik Dinaik Taraf, Jadi Kawasan Rekreasi

IPOH: Amat rugi jika terdapat sebuah kawasan tumpuan orang ramai untuk beriadah dan berekreasi namun, ia tidak diselenggara dengan baik.

Mungkin ada yang tidak menyedarinya, namun bagi masyarakat Ulu Kinta khususnya yang tinggal di Kampung Tersusun Batu 8, Taman Tanjung Mewah dan Taman Indah, pastinya kewujudan sebuah tasik berdekatan kawasan perumahan ini bukanlah sesuatu yang asing bagi mereka.

Menerusi tinjauan Perak Today pada Jumaat, persekitaran tasik ini menjadi pilihan masyarakat setempat bagi melakukan aktiviti sihat seperti berjogging dan bersenam.

Tidak kurang juga yang membawa anak serta meluangkan masa bersama ahli keluarga tatkala seharian membanting tulang mencari rezeki.

Walau bagaimanapun, jelas kelihatan kawasan ini seolah-olah tidak lengkap dengan beberapa fasiliti kemudahan asas dan juga keselamatan.

Salah seorang penduduk tempatan, Nur Syafikah Mohd Azlan, 27 yang ditemui berkata keadaan persekitaran yang dipenuhi dengan semak-samun sedikit sebanyak mengundang rasa tidak selesa kepada pengunjung untuk beriadah, apatah lagi jika berseorangan.

“Di sini, kawasan parkir, trek untuk berjongging serta jambatan yang menghubungkan antara trek sudah ada namun, saya berharap pihak berkuasa dapat menaik taraf kawasan ini memandangkan ianya tempat tumpuan ramai, khususnya di hujung minggu.

“Saya cadangkan agar kawasan ini dapat dibangunkan seperti taman rekreasi yang lain seperti Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz yang dilengkapi tiang lampu dan tandas awam,” katanya.

Dia turut mencadangkan agar ia dilengkapi dengan kemudahan tong sampah bagi menjamin kebersihan dan keindahan kawasan tasik yang berdekatan dengan Masjid An-Nur Batu 8 ini.

Sementara itu, Syed Musa Syed Kazim, 25 mencadangkan agar kawasan ini dilengkapi dengan kemudahan fasiliti taman permainan kanak-kanak serta kemudahan gimnasium luar dan senaman jalanan (street workout).

“Untuk ke Ipoh mungkin ianya agak memakan masa dan kos perjalanan. Tambahan pula bagi individu seperti saya yang sukakan aktiviti luar.

“Bagi saya kawasan tasik ini mempunyai potensi untuk dibangunkan dan dicantikkan seperti mana kawasan rekreasi lain yang juga mempunyai tasik di Ipoh,” katanya.

 

Mohon Perhatian Pihak Berkuasa Tempatan

 

Menerusi papan tanda Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Perak yang terdapat di sini, tasik ini merupakan sebuah kolam takungan banjir Sungai Pinji.

Kewujudannya juga difahamkan bertujuan untuk menakung lebihan air bagi mengurangkan masalah banjir di kawasan ini.

Selain dibangunkan, berkemungkinan beberapa aktiviti ataupun pertandingan sukan air boleh diadakan di tasik yang berkeluasan 16 hektar ini.

Diharap agar pihak berkuasa tempatan degan kerjasama JPS Perak dapat membangunkan kawasan ini sebagaimana kawasan rekreasi Eco Park, Bandar Seri Botani ataupun kawasan Rekreasi Gunung Lang.

Paling tidak sekali pun, mungkin kawasan persekitaran tasik ini boleh dibangunkan sebagaimana projek pembinaan Kompleks Rekreasi Awam Jalan Tapah di Gugusan Manjoi.

Menjadikan kawasan kolam takungan banjir sebagai kawasan rekreasi umum bukanlah sesuatu yang baharu di mana Kolam Takungan Banjir Kampung Boyan, Lorong Gurney di ibu negara antara kawasan kolam takungan yang telah dijadikan sebagai kawasan riadah untuk orang ramai.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");