Berita Hari Ini

PM Mahu Jadikan Malaysia Unggul, Rakyatnya Bahagia

KOTA KINABALU – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau ingin menjadikan Malaysia sebagai antara 20 negara terunggul di dunia dari segi pembangunannya namun pada masa sama rakyatnya tetap hidup dalam keadaan bahagia.

Beliau tidak ingin melihat kemajuan Malaysia cuma diukur dari segi pendapatan perkapita rakyatnya sahaja tetapi mahu kemajuan Malaysia juga diukur dari segi kebahagiaan rakyatnya.

“Rakyat bahagia bererti kita nak bentuk sebuah masyarakat yang begitu selesa antara satu sama lain, kalau kita serasi antara satu sama lain, lepas itu kita saling hormat menghormati, bantu membantu tidak kira kumpulan etnik, budaya, agama… dan kita tetap menyanjung tinggi orang lain yang ada bersama-sama kita.

“Kalau inilah semangat yang ada pada kita, maka kumpulan yang ramai etnik pun tidak menjadi masalah dan tengoklah Malaysia, (contohnya) kita ada 250 kumpulan etnik di Sabah, tidak pernah ada konflik yang dahsyat sesama kita,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis Ramah Mesra Perdana Menteri dengan Persatuan-Persatuan Etnik dan Kesenian Sabah di sini malam ini.

Turut hadir pada majlis yang dihadiri 67 ketua kumpulan etnik berkenaan ialah Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dan dua timbalannya Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Seri Yahya Hussin serta beberapa anggota Kabinet negeri.

Justeru, kata Najib kepelbagaian etnik dan kaum serta agama tidak seharusnya menjadi penghalang untuk rakyat bersatu padu dan yang penting wujudnya sikap saling hormat menghormati antara satu dengan lain.

Bagaimanapun, perdana menteri mengingatkan rakyat supaya berwaspada terhadap kemunculan golongan tidak bertanggungjawab kebelakangan ini, terutamanya ketika musim pilihan raya sudah hampir tiba, yang cuba melaga-lagakan dengan memperalatkan etnik untuk memecahbelahkan perpaduan masyarakat.

Katanya kumpulan berkenaan sengaja menjadi batu api untuk menanam kebencian dalam kalangan rakyat pelbagai etnik dan kaum untuk mencapai cita-cita peribadi dan kuasa politik mereka.

Menurutnya kumpulan berkenaan tidak mempunyai agenda lebih besar seperti untuk membangunkan negara ke tahap lebih tinggi sebaliknya hanya ingin berkuasa dan menjadi pemimpin.

“Cita-cita peribadi tidak boleh dijadikan pertimbangan dalam kita nak memilih pemimpin untuk memerintah negeri dan negara kita. Kalau kita ikut dengan apa kehendak dan perasaan mereka, kitalah yang akan rugi sebab mereka akan gunakan kita mengikut keadaan.

“Hari ini dia cakap lain, esok dia cakap lain. Masa dia ada kuasa, dia cakap lain, hari ini dia cakap lain. Dulu dia buat lain , hari ini dia buat lain. Kalau macam begini, mereka ini adalah “secara konsisten tidak konsisten,” jadi orang macam ini kita tidak boleh pakai sama sekali. Kita cuma boleh meletakkan kepercayaan kita kepada BN,”katanya.

Menurut Najib, BN sudah membuktikan keupayaannya membangunkan negara, menolong semua kaum serta berupaya menyatupadukan rakyat sehingga mereka dapat hidup harmoni.

Pada majlis itu, perdana menteri turut mengumumkan bantuan dana sebanyak RM10,000 kepada setiap kumpulan etnik di Sabah untuk digunakan bagi melaksanakan aktiviti masing-masing lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");