Isu Panas

PRU14: Jangan Cuba Cabar Polis!

KUALA LUMPUR – Polis telah mengenal pasti individu dan organisasi berpotensi melakukan ‘serangan mengejut di saat akhir’ (SLMA), bertujuan menimbulkan kekecohan pada PRU14.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia berlaku pada PRU lalu, dengan dakwaan palsu mengatakan 40,000 warga Bangladesh dibawa masuk ke negara ini sebagai pengundi hantu.

Menurutnya yang juga Menteri Dalam Negeri, menjelang PRU kali ini, polis mempunyai senarai individu dan organisasi tersebut dan isu-isu yang boleh dijadikan senjata bagi tujuan jahat itu.

“Saya tahu ada pihak yang akan melakukan SLMA, kita tahu siapa individu-individu itu. Kami telah mengenal pasti blog mana yang akan menularkannya dan kami telah mengenal pasti isu yang berpotensi digunakan sebagai ‘last minute bomb,’.

“Tindakan pasti akan diambil jika ada mana-mana individu atau organisasi melancarkan SLMA,” katanya semasa berucap pada majlis Turun Padang Timbalan Perdana Menteri bersama warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, semalam lapor Bernama.

Katanya, polis juga telah mengenal pasti kawasan berpotensi dijadikan lokasi kekecohan itu berlaku.

“Jangan cuba cabar polis,” tegasnya.

Beliau juga memberi amaran kepada semua parti politik supaya tidak melakukan provokasi terhadap pihak polis dengan membuat sebarang kekecohan di mana-mana lokasi pada PRU14.

Berhubung dakwaan pengundi hantu Bangladesh itu, Ahmad Zahid berkata, walaupun ia terbukti tidak benar, tetapi ia telah mempengaruhi banyak pihak hingga menimbulkan suasana tegang pada PRU lalu.

Bagi elak situasi sama berulang, beliau telah arahkan polis ambil tindakan dalam tempoh 24 jam terhadap mana-mana pihak cuba melakukan perkara sama.

Beliau turut mengarahkan polis mengelak guna kekerasan semasa mengawasi perjalanan PRU14, dan sentiasa melakukan ‘engagement’ dengan parti politik terlibat.

“Dalam menentukan soal keamanan dan ketenteraman awam, tidak ada harga harus dibayar. Dalam menjalankan operasi, elak guna sebutir pun gas pemedih mata, jangan tembak water cannon pun kecuali keadaan memaksa,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");