Perak Hari Ini

28,000 Masalah Hak Strata Berjaya Diselesaikan

LUMUT: Sehingga hari ini, kerajaan negeri Perak telah berjaya memberikan sekitar 28,000 hak-hak milik perumahan strata di seluruh daerah, termasuk di Pangsapuri Bukit Permata, dekat sini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata atas inisiatif permukiman dan kekerapan beliau turun padang bertemu serta mendengar keluhan rakyat, ianya berjaya direalisasikan.

Jelasnya, selain soal hal pemilikan strata, masalah yang berkaitan dengan hal-hal bil air dan elektrik turut berjaya diselesaikan menerusi kerja-kerja kurang daripada tempoh dua tahun.

“Hasil pembangunan di daerah Manjung ini telah menyebabkan jumlah penduduk semakin ramai, dan menambahkan lagi, jumlah rumah-rumah bertingkat.

“Saya kerap turun ke sini dan mendengar masalah mereka. Dan hasilnya, kita berjaya menyelesaikan ia dalam beberapa bulan sahaja.

“Hal pemberian hak strata ini mengambil masa yang lama, namun atas kerjasama yang efektif dengan pihak-pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi kerajaan lain, kita berjaya menrealisasikannya,” katanya.

Selain itu katanya, antara masalah yang melibatkan hak pemilikan strata ini ialah isu pemindahan hak milik rumah kepada ahli keluarga lain, apabila berlaku kematian.

Zambry yang juga calon Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) bagi kerusi Parlimen Lumut dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor, turut menggesa agar pemaju-pemaju perumahan strata untuk segera menyelesaikan masalah pemilikan dan hak kepada penduduk.

Beliau berkata demikan kepada media selepas menyempurnakan Majllis Penyampaian Hak Milik Strata kepada Pemaju dan Badan Pengurusan (JMB) Manjung 2018, di Pangsapuri Bukit Permata, dekat sini, pada Rabu.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

Pada perkembangan sama, wakil penduduk, Masrawi Abd Ghani, yang ditemui berkata pihaknya berasa bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri pimpinan Zambry yang berjaya menyeselaikan masalah berkenaan pemilikan hak strata di kawasan kediamannya.

Katanya, Zambry berjaya menyelesaikan masalah yang berlarutan sehingga 7 tahun itu selama 2 bulan.

“Saya berasa lega, atas lawatan Menteri Besar sebelum ini, ianya membuahkan hasil apabila masalah ini berjaya diselesaikan,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");