Jenayah

Tanam Getah, Tumbuh Ketum

BUKIT KAYU HITAM: Pembekal daun ketum di daerah Sik mengambil kesempatan menanam pokok ketum dalam kawasan ladang getah susulan permintaan tinggi di negara jiran.

Menurut laporan BH Online, kegiatan itu terbongkar apabila pasukan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) menyerbu sebuah bangsal di kawasan kebun getah di Kampung Kubang Kesom di Sik malam tadi, membawa penemuan 760 kilogram (kg) daun ketum yang siap dibungkus.

Dalam serbuan jam 10.15 malam itu, anggota AKSEM menemui 750 kg daun ketum itu dalam beberapa bakul di bawah bangsal berkenaan manakala 10 kg lagi ditemui dalam sebuah van Nissan Vanette yang ditinggalkan di hadapan bangsal itu.

Komander AKSEM Kedah, Abdul Latif Abd Rahman, berkata hasil pemeriksaan turut menemui beberapa pokok ketum yang dipercayai ditanam di kawasan kebun getah berkenaan.

Beliau berkata, hasil siasatan pasukan itu yang diketuai Inspektor Ananda Krishnan juga tidak menemui sesiapa di kawasan itu dan tiada tangkapan dilakukan di situ.

“Kita percaya daun ketum yang sudah siap dibungkus dengan plastik putih itu sengaja ditinggalkan di situ dan sedia untuk dihantar kepada pihak ketiga.

“Modus operandi mereka adalah dengan memetik daun ketum di kawasan kebun getah itu pada waktu malam untuk mengelak dikesan orang lain.

“Malah, kita percaya individu terbabit membungkus daun berkenaan pada waktu itu juga (malam) untuk mengekalkan kesegaran daun itu supaya tahan lama berbanding daun tidak dibungkus yang mudah rosak,” katanya pada sidang media di Kompleks Pentadbiran AKSEM Bukit Kayu Hitam di sini, hari ini.

Abdul Latif berkata, hasil siasatan mendapati daun ketum itu dipercayai akan dihantar ke Pantai Timur menerusi laluan di Sik untuk dihantar ke negara jiran, Thailand.

Beliau menjelaskan, ini kerana kawalan ketat di sempadan negeri iaitu Bukit Kayu Hitam dan Kota Putra di Durian Burung menyebabkan individu terbabit tidak mahu menanggung rugi.

“Ini kerana harga pasaran di negara jiran lebih lumayan iaitu RM100 sekilogram berbanding di negara ini hanya RM30 sekilo.

“Kita percaya kegiatan ini dilakukan oleh orang luar dari kawasan itu untuk mengaut keuntungan, malah kita percaya kegiatan ini berkemungkinan dilakukan lebih dari sekali.

“Permintaan daun ketum bukan saja meningkat di Thailand, malah negara lain seperti Amerika Syarikat turut menggunakan daun itu untuk dijadikan produk kesihatan,” katanya.

Berikutan itu, katanya, pihaknya merampas kesemua daun ketum bernilai RM38,000 dan van bernilai RM20,000 itu untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes diserahkan kepada polis untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");