Sukan Hari Ini

Badang Negara Terima Sambutan Wira

SEPANG: Badang negara, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad dan Muhammad Aznil Bidin yang memenangi pingat emas di Sukan Komanwel Gold Coast 2018, menerima sambutan wira daripada keluarga sebaik tiba di tanah air, kira-kira jam 3 pagi tadi.

Mereka tiba bersama lapan lagi atlet angkat berat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan disambut keluarga serta sebilangan kecil penyokong yang memberi tepukan dan mengibarkan bendera.

Sambutan wira Emas itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Dr Mohd Khairi Zawi.

Angkat berat menjadi kontinjen kedua tiba ke tanah air selepas basikal, semalam.

“Sudah tentu kejayaan ini menjadikan saya lebih bersemangat untuk memburu pingat di temasya sukan Asia 2018 di Jakarta nanti,” kata Azroy yang memenangi pingat emas acara angkat berat 56kg lapor Berita Harian.

Azroy muncul penyumbang emas pertama negara kali ini apabila menguasai acara 56kg dengan angkatan keseluruhan 261kg di Arena Sukan Carrara.

Atlet dari Rompin, Pahang itu turut memecahkan dua daripada tiga rekod lama milik idolanya, Amirul Hamizan Ibrahim yang kini menjadi pengurus pasukan skuad angkat berat negara.

Bermula dengan angkatan 117kg menerusi snatch untuk memadam rekod 116kg yang dicipta Amirul dalam temasya di New Delhi 2010, Azroy seterusnya mengangkat bebanan 144kg dalam clean and jerk untuk keseluruhan 261kg.

Kejayaan itu sekaligus mengatasi rekod Komanwel milik Amirul (260kg) yang dilakukan di Manchester pada 2002.

Sementara itu, Muhamad Aznil yang diletakkan harapan untuk memenangi perak, melepasi ramalan apabila mengatasi saingan sengit Morea Baru dari Papua New Guinea untuk memenangi pingat emas kategori 62kg.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");