Perak Hari Ini

BN Bahagian Tanjung Malim Minta Ong Ka Chuan Terima Keputusan Parti

IPOH:Barisan Nasional (BN) Bahagian Tanjung Malim membantah tindakan pihak tertentu yang berhimpun di Putrajaya hari ini bagi membantah keputusan pucuk pimpinan parti yang tidak mencalonkan Datuk Seri Ong Ka Chuan mempertahankan kerusi P077 Tanjong Malim.

Pengerusi Barisan Nasional Tanjong Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata tindakan itu amat serius dan bertentangaan dengan amalan BN yang menghormati setiap keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan parti, khususnya dalam soal pemilihan calon.

“Saya menasihatkan Datuk Seri Ong Ka Chuan supaya segera meredakan perasaan pengikutnya dan memberikan contoh yang baik demi perpaduan rakyat di Tanjung Malim.

“Selaku Setiausaha Agung MCA, beliau juga hendaklah menghormati keputusan Presiden partinya sendiri yang mencadangkan nama Pengerusi MCA Perak, Datuk Mah Hang Soon untuk bertanding di Parlimen Tanjong Malim,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya ketika Ong Ka Chuan dicalonkan di kerusi ini dalam pilihanraya ke-12 pada tahun 2008, jentera BN di Tanjung Malim tidak begitu mengenalinya seolah datang secara tiba-tiba selaku calon, bagaimanapun telah mengambil sikap untuk mengutamakan parti dan mengikut keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan.

“Beliau perlu ingat bahawa dirinya juga bukanlah orang tempatan Tanjung Malim, tetapi telah diterima baik dan telah memenangkannya sebagai calon di kawasan ini yang majoriti terdiri daripada pengundi Melayu.

“Malah dalam PRU ke 13 lalu, beliaulah satu-satunya calon MCA yang mencapai kemenangan di kerusi Parlimen di Negeri Perak, kerana keutamaan pengundi di Tanjung Malim bukanlah terhadap individu, tetapi lebih kepada memastikan BN terus dapat memerintah negara.

“Saya ingin memberitahu kepada Datuk Seri Ong Ka Chuan bahawa majoriti besar pengundi di Tanjong Malim menghormati keputusan pucuk pimpinan BN menamakan calon bagi kerusi-kerusi di kawasan ini dan membantah keputusan pucuk pimpinan bukanlah budaya politik BN Tanjung Malim sebelum ini,” katanya.

Jelasnya lagi, sebilangan yang menyertai himpunan itu juga memaklumkan kepadanya bahawa mereka tidak diberitahu dengan jelas tujuan mereka dibawa ke Putrajaya, dan sebilangan besar daripada mereka, terutamanya masyarakat Orang Asli berasa tertipu.

“Ada yang menyertai perhimpunan itu tidak menjadi ahli kepada mana-mana parti komponen BN, dan bukan pengundi di kawasan Parlimen Tanjung Malim,” katanya.

Khusairi selaku Pengerusi BN Tanjung Malim turut mengingatkan semua ahli parti komponen BN adalah terikat dengan peraturan dan disiplin yang termaktub di dalam perlembagaan.

“Saya menyeru kepada ahli-ahli parti BN Bahagian Tanjung Malim supaya terus menghormati keputusan pucuk pimpinan parti dan terus bekerja keras bagi memastikan calon-calon BN memenangi kerusi-kerusi yang dipertandingkan, dengan mengekalkan kemenangan di Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, DUN Behrang dan merampas kembali DUN Sungkai,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");