Perak Hari Ini

Calon Muka Baharu BN DUN Bota Sasar Kerap Kenalkan Diri Kepada Pengundi

PARIT: Sebagai calon muka baharu Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota, Khairul Shahril Mohamed, antara cabaran yang harus dihadapinya ialah memperkenalkan diri kepada pengundi di kawasanya.

Atas faktor itu juga, beliau mengakui bahawa dirinya harus dan sedang bekerja lebih kuat bersama-sama jentera  dan ketua-ketua parti di setiap cawangan.

Ujarnya, dalam musim berkempen sebelum tiba hari pembuangan undi, beliau menyasarkan sekurang-kurangnya melawat setiap cawangan sebanyak dua kali.

“Gerak kerja berkempen ini telah kita mulakan sebelum pembubaran Parlimen dan DUN lagi.

“Cumanya sebelum ini, saya bergerak bukan sebab hendak jadi calon tetapi, kita bergerak untuk kemenangan parti,“ katanya.

Ketika ditanya tentang pendekatan yang diambil bagi mendekati pengundi-pengundi berusia, Khairul yang juga Timbalan Pengerusi Pemuda BN Perak berkata ia harus berbeza dengan strategi mendekati golongan pengundi muda.

Jelasnya, berbanding dengan golongan muda yang lebih selesa dengan penggunaan media sosial, pengundi berusia harus didekati dengan cara bertentang mata dan pengedaran-pengedaran risalah profil calon.

“Bahan-bahan kempen ini sangat membantu khususnya untuk saya memperkenalkan diri kepada pengundi berusia.

“Selain itu juga, kita turut mengadakan perjumpaan serta ceramah-ceramah berskala kecil di setiap kampung dan inilah saya berpendapat antara strategi dan kekuatan utama BN dalam berkempen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sesi lawatan beliau bertemu pengundi-pengundi di dalam DUN Bota, dekat sini, pada Isnin.

Pada hari kedua berkempen pasca penamaan calon, Khairul dan jenteranya telah bergerak ke beberapa kawasan antaranya Pekan Bota Kanan, Kampung Padang Changkat, Kampung Lambor Kanan, Kampung Tanjung Gelugor serta Kampung Teluk Kepayang.

Khairul yang berusia 44 tahun itu merupakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri semenjak 2016.

Beliau yang berkelulusan ijazah sarjana muda eksekutif pengurusan dari Universiti AE Asia, Kuala Lumpur itu pernah menjawat beberapa jawatan dalam pentadbiran awam.

Antaranya, Penolong Pegawai Biro Tata Negara, Ahli Majlis Daerah Perak Tengah dan Pegawai Seranta RISDA Perak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");