Perak Hari Ini

Hamzah Saran Belia Wujudkan Koperasi

SELAMA:Golongan belia diseru menceburi sektor koperasi bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara yang lebih baik pada masa hadapan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, setakat ini sejumlah 2.5 juta anak muda menceburi aktiviti koperasi negara.

Katanya, Koperasi Sekolah mencatat jumlah tertinggi dengan penglibatan 2.4 juta orang, manakala kira-kira 75,500 orang ahli koperasi di peringkat pusat pengajian tinggi.

“Lebihan daripada jumlah itu, sekitar 22,200 orang belia di luar sana telah menceburi sektor koperasi bagi memulakan perniagaan masing-masing.

“Saya sangat berharap agar lebih ramai golongan belia menyertai koperasi kerana pelbagai manfaat yang boleh diperoleh termasuk latihan, bantuan dana dan penyelidikan,” katanya selepas merasmikan Karnival Anak Muda Berkoperasi di Dewan Sungai Bayor, Selama di sini hari ini.

Turut hadir  Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Dr. Noor Zari Hamat.

Hamzah berkata, antara insentif khusus buat anak muda menjadi ahli koperasi adalah khidmat nasihat, program pendidikan dan bimbingan latihan berterusan secara efektif.

“Kerajaan telah menyediakan Geran Bantuan Pembangunan berjumlah RM2.1 juta kepada koperasi golongan muda sepanjang 2016 dan 2017.

“Ahli koperasi juga berpeluang menyertai program peetandingan produk keusahawanan seperti Program Young Entrepreneurs’ Strive For Success (YESS) dan Program High Performing Co-operatives (HiPer).

“Kita harapkan penglibatan lebih ramai belia menyertai aktiviti koperasi, kerajaan mensasarkan sektor koperasi mampu mencapai perolehan berjumlah RM50 bilion pada 2020 nanti, sekali gus mengatasi pencapaian perolehan sebanyak RM40.24 bilion yang dicatatkan pada tahun lalu,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai Program Jualan Sentuhan Rakyat (PJSR) Hamzah berkata, ini membuktikan penyelesaian positif hasrat kerajaan menstabilkan harga.

Katanya, peniaga yang menaikkan harga sebenarnya tidak menguntungkan kerana tiap-tiap minggu pihaknya membuat jualan sentuhan rakyat.

“Kerajaan akan sentiasa memastikan ekonomi negara stabil agar pertumbuhan meningkat dan memudahkan dasar-dasar membantu rakyat diwujudkan.

“Alhamdulilah..saya bersyukur tiap-tiap minggu kita adakan Jualan Sentuhan Rakyat, cuma Sabtu baru- baru ini sahaja seluruh negara  tak buat sebab ada penamaan calon,” katanya.

Jelas Hamzah program itu akan dilaksanakan Sabtu ini sebagai tanda manifestasi keprihatinan kerajaan dalam mengurangkan bebanan rakyat dan meringankan kos sara hidup terutama kepada masyarakat yang tinggal di kawasan luar bandar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");