Perak Hari Ini

Ke Tahap Mana Zambry Bawa Negeri Perak

IPOH: Jika diimbas sepanjang sepuluh tahun ini pelbagai perubahan dan limpahan pembangunan yang berlaku serta dirasai penduduk Perak dari daerah Kerian sehingga ke Tanjung Malim.

Hasil negeri yang mengalami peningkatan sebanyak 67% dari tahun 2009 sehingga 2017 dilihat tidak disia-siakan sebaliknya, ia dipulangkan kembali kepada sekitar 2.5 juta rakyat di semua peringkat, menerusi pembangunan-pembangunan bersasar.

Usaha pimpinan Kerajaan Negeri Perak, yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam mewujudkan 41 pekan kecil di seluruh daerah yang bermula pada awal tahun 2013 jelas menunjukkan komitmen dalam memastikan limpahan ekonomi turut dinikmati penduduk di kawasan luar bandar.

Usaha keras Zambry tanpa henti bagi membangunkan segenap Perak sama ada di bandar mahupun pekan kecil dan apatah lagi kampung-kampung dapat dinikmati dan dilihat sendiri oleh rakyat.

Dilaporkan kerajaan negeri, menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) membelanjakan sekitar RM3 juta bagi pembinaan ‘pekan-pekan koboi’ seluruh negeri.

Antara yang telah dan sedang dibangunkan ialah Taman Trong Perdana, Taman Amanjaya Ijok, Dataran Amanjaya Sauk, Dataran Amanjaya Lekir,  Dataran Amanjaya Manong, Dataran Amanjaya Semanggol, Dataran Amanjaya Slim, Dataran Amanjaya Temoh, Dataran Amanjaya Bandariang dan Dataran Amanjaya Changkat Jong.

Tidak ketinggalan Dataran Amanjaya Bagan Datuk yang mana disitu juga sedang rancak dibangunkan pusat pelancongan dan rekreasi, Bagan Datuk Waterfront City.

Kewujudan Lebuh Raya Pesisir Pantai Barat sejauh 233 kilometer di negeri ini yang bakal siap pada tahun hadapan, ianya juga bakal merapatkan jurang laluan antara kawasan Taiping, Setiawan, Teluk Intan dengan Hutan Melintang.

Dalam pada itu, di Batu Gajah kini sedang dibangunkan adalah sebuah pusat kompleks membeli-belah premium merentasi sebuah tasik di daerah tersebut, yang mana ianya sekali gus dibina dengan berkonsepkan alam semula jadi.

‘Silverlakes Brand Village Outlet’, yang dijangka siap pada penghujung tahun ini akan menjadi salah satu mercu tanda negeri terbaharu.

Lebih kurang 10 kilometer dari kawasan tersebut, berdiri megah Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 (TT5) yang kini menjangkau usia 80 tahun.

Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) bukan sahaja berjaya memulihara khazanah negara itu dengan baik malah, kawasan persekitaranya kini telah ditransformasikan sebagai pusat rekreasi dan santai untuk segenap lapisan masyarakat.

Secara tidak langsung kegiatan ekonomi penduduk setempat juga turut rancak.

Apabila menyentuh tentang soal pembangunan, mana-mana warga Perak tidak dapat menafikan bagaimana kerancakkan pembangunan yang berlaku di Bandar Meru Raya.

Jika pada awalnya, mungkin ada pihak yang memandang sinis apabila keputusan kerajaan negeri memindahkan beberapa agensi awam dan stesen bas antara negeri ke kawasan tersebut.

Namun kini, atas usaha berterusan kerajaan negeri menerusi PKNP, Meru kini bukan sahaja menjadi tumpuan warga tempatan malah, ianya menjadi lokasi wajib dikunjungi oleh pelancong-pelancong asing khususnya yang ingin bertandang ke taman tema animasi pertama di rantau ini, Movie Animation Park Studios.

Kerancakkan ekonomi di Meru akhirnya berjaya merubah senario pembangunan di kawasan sekitarnya termasuk sebahagian daripada Chemor yang mana kini mempunyai banyak kawasan-kawasan penempatan baharu.

Jika ada pihak yang cuba menafikan kerancakkan pembanguan di Perak, tidak mungkin syarikat antarabangsa berminat untuk melabur dengan membina hotel mereka di Ipoh.

credit: Images Of Ipoh

Hotel Pullman yang berhampiran dengan Dataran Ipoh merupakan sebuah hotel antarabangsa yang berpangkalan di Perancis.

Pembangunan yang dinikmati selama ini dan yang akan datang adalah sebagai menifestasi sokongan rakyat terhadap pimpinan kerajaan negeri yang mana rakyat sendiri akan mendapat kebaikkan pada masa hadapan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");