Sukan Hari Ini

‘Keputusan Tepat’

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih FELDA United FC, B Sathianathan menganggap Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengambil keputusan yang tepat jika membatalkan semua aksi membabitkan Kuantan FA dalam Liga Perdana musim ini.

Sathianathan menjelaskan keputusan itu adalah paling adil buat semua pasukan walaupun FELDA United juga akan ditolak tiga mata hasil kemenangan 1-0 ke atas Kuantan FA pada 9 Mac lalu.

“Kalau setiap kali bermain dengan Kuantan FA pasukan lawan diberi kemenangan percuma, ia boleh mengakibatkan kos kepada pasukan lain. Jadi, lebih baik MFL batalkan semua perlawanan Kuantan FA.

“Pasukan lain perlu berada di padang sebelum pengadil tamatkan perlawanan dan pasukan lawan (kepada Kuantan) diberi kemenangan percuma 3-0. Itu undang-udang biasa, tapi kalau ada perubahan terhadap undang-undang itu saya tidak tahu.

“Kalau Kuantan FA memang sah tidak datang, lebih baik buat keputusan macam mereka tiada dalam liga. Ia bermakna semua pasukan yang menentang mereka tidak dikira mata.

“Macam pasukan saya sendiri yang dapat tiga mata berdepan mereka sebelum ini, jadi mata itu kena tolak. Lebih baik macam itu dan ia lebih adil buat semua pasukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kelmarin, MFL mengesahkan penyertaan Kuantan FA dalam Liga Perdana dibatalkan serta merta selepas melakukan kesalahan besar tidak hadir ke Stadium Shah Alam pada 15 April lalu yang menyaksikan kemenangan percuma diberikan kepada PDRM.

Sukan NSTP, hari ini melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif MLF, Kevin Ramalingam menjelaskan pihak mungkin terpaksa membatalkan semua aksi membabitkan Kuantan FA sama ada yang sudah berlangsung atau yang akan datang.

Selain itu, Sathianathan yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (MFL) berkata pengendali Kuantan FA, Ismail Zakaria masih belum menghubungi pihaknya untuk mendapatkan sokongan menyelesaikan isu tunggakan gaji bersama skuad terbabit.

“Setahu saya, beliau masih belum menghubungi kami, tapi saya tidak pasti jika beliau sudah menghubungi Setiausaha PJBM. Jika ada, kami memang sedia membantu beliau,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");