Membawang Hari Ini

Nabil Taja Tiga Peminat Tunai Umrah

SHAH ALAM: Artis serba boleh, Nabil Ahmad, mengambil pendekatan membayar sepenuhnya pakej umrah tiga peminat beliau selepas individu yang sepatutnya berbuat demikian menarik diri.

Pengacara dan pelawak itu berkata, peminat terbabit pada awalnya sudah pun membayar RM3,000 memandangkan individu berkenaan bercadang mahu menaja separuh daripada harga pakej umrah mereka.

Namun, apabila penaja terbabit menarik diri, Nabil berasa bertanggungjawab menyelesaikan masalah berkenaan, selain menyifatkan ia sebagai tanda penghargaan buat peminatnya.

“Saya perlu bertanggungjawab dan menganggap ia sebagai hadiah buat mereka yang setia menyokong kerjaya saya.

“Manalah tahu, tahun ini saya hantar tiga peminat ke Makkah, tahun depan rezeki ‘meletup’, saya dapat hantar 30 orang pula?

“Saya anggap apa yang berlaku ini sebagai rezeki saya untuk menolong peminat berkenaan dan ia juga ruang untuk berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Nabil, 34, berkata demikian ketika ditemui pada majlis kesyukuran dan doa selamat sempena sedekad dirinya dalam industri seni, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Katanya, selepas 10 tahun menjadi anak seni, sudah tiba masanya beliau memperbanyakkan amalan berkongsi rezeki dengan masyarakat.

“Sepanjang tempoh berkecimpung dalam bidang seni, ada saja orang yang menaja saya untuk pelbagai perkara. Antaranya, ada yang belanja saya menunaikan umrah dan haji.

“Jadi, saya mahu melihat dan fikirkan kembali apa yang orang sudah berikan kepada saya,” tuturnya.

Tiga peminat terbabit dan Nabil sekeluarga dijangka terbang ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadat berkenaan pada Ramadan ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");