Jenayah

Pegawai Pendek Tipu Warga Emas

BAGAN SERAI: Pasangan warga emas kerugian RM8,070 akibat diperdaya seorang lelaki berperwatakan alim yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dalam kejadian di Parit Haji Kassim, Alor Pongsu di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata kejadian jam 12.30 tengah hari itu membabitkan mangsa seorang suri rumah berusia 75 tahun dan suaminya berusia 83 tahun yang didatangi suspek ketika berada di kediaman mereka.

Menurutnya, suspek menaiki motosikal jenis Modenas Kriss warna hitam dan memperkenalkan diri sebagai pegawai JKM yang kononnya ingin membantu mendapatkan bantuan bulanan serta perlu mengambil gambar pasangan terbabit.

“Warga emas berkenaan membenarkan lelaki terbabit masuk kononnya bagi mengambil gambar dan sebelum sesi bergambar suspek meminta mangsa menanggalkan barang kemas yang dipakai serta menyimpannya dalam bilik supaya gambar yang diambil menampakkan mangsa dalam keadaan miskin.

“Kemudian, suspek meminta segelas air suam dan ketika mangsa ke dapur, suspek mengajak suami mangsa masuk ke dalam bilik untuk mengambil gambar,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online, hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, sebaik suri rumah berkenaan datang membawa air, suspek sudah melarikan diri dan menyedari ada sesuatu yang tidak kena, mangsa segera memeriksa barang kemas yang diletak atas tilam dalam bilik dan mendapatinya sudah lesap.

“Dompet mengandungi kad pengenalan dan wang tunai RM70 yang disangkut di tangga rumah turut dilarikan suspek.

“Hasil keterangan dan gambaran daripada mangsa, polis berjaya mendapatkan 80 peratus lakaran wajah suspek yang dipercayai berusia lingkungan 50-an, berbadan sederhana dengan ketinggian kira-kira 140 sentimeter,” katanya.

Menurutnya, sejak Januari lalu sebanyak lima kes membabitkan modus operandi hampir sama dilaporkan dengan suspek menyamar sebagai pegawai, JKM, Baitulmal dan pejabat agama.

“Orang ramai yang mungkin dapat mengecam gambar suspek dan mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Hotline Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kerian di talian 05-721 2222,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");