Perak Hari Ini

Pengundi Setuju Zambry Layak Duduki Kerusi Parlimen Lumut

SITIAWAN: Kebanyakkan pengundi Lumut yang ditemui mengakui bahawa kerusi Parlimen itu sesuai dimiliki calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14).

Zamri Abd Aziz, 41 berkata, berbanding dengan calon-calon pembangkang, pendekatan BN dan Zambry dalam mendekati masyarakat dilihat lebih berpotensi untuk menerajui kepimpinan di Lumut.

Jelasnya, selama dua penggal menerajui negeri Perak sebagai Menteri Besar, Zambry banyak memberikan limpahan pembangunan kepada seluruh daerah, khususnya di Manjung.

“Saya yakin, rakyat di sini akan menyokong beliau malah, buat pengundi dan rakyat Perak amnya, sangat berbaloi untuk kita angkat beliau sebagai pemimpin.

“Kalau calon pembangkang itu saya tak kenal. Kita kalau hendak memlilih calon itu, biarlah kita kenal dan selalu turun padang sebagaimana yang dilakukan selama ini oleh Zambry. Beliau Menteri Besar yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, Ishak Salim, 70, berkata Zambry bukanlah seorang pemimpin yang hanya muncul pada musim-musim pilihanraya sebaliknya, kehadiran calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor itu sentiasa disedari masyarakat setempat.

“Kita memang selalu tengok beliau. Banyak perubahan dan kebaikan yang dia usahakan di sini, seperti melibatkan tanaman-tanaman bakau.

“Sejak beliau menjadi Menteri Besar, nasib nelayan-nelayan di sini juga terbelas selain sentiasa mengusahakan dana untuk membina masjid dan surau-surau baru di sini,” jelasnya.

Turut senada dengan Ishak, Asmah Ramli, 55 mengakui Zambry sangat mesra dengan penduduk di kampungnya malah, senantiasa mengambil berat permasalahan yang dihadapi mereka.

Ketika ditanya tentang kehadiran calon pembangkang, Asmah berkata selain tidak mengenali malah tidak ada langsung muncul ‘kelibat’ individu tersebut di kawasan sekitar sebelum parlimen dan DUN dibubarkan.

Kerusi Parlimen Lumut dijangka menerima tentangan tiga penjuru di antara BN dengan calon Parti Amanah Negara yang diwakili Dr Mohd Hatta Md Ramli dan calon Pas, Mohd Zamri Ibrahim.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");